Pages

Wednesday, December 31, 2008

Manikavasagam hanya lepas jawatan Timbalan Pengerusi PKR

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam hari ini hanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Selangor berkuatkuasa serta merta.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya itu telah pun dihantar kepada Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya merasa kecewa terhadap kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang diterajui PKR yang tidak menilai jasa-jasa ahli Parlimen yang dipilih rakyat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, di dalam surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Khalid dan Wan Azizah itu, beliau berkata: "Memandangkan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat diterajui PKR tidak menilai pandangan ahli Parlimen yang dipilih rakyat, saya dengan ini memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor."

Sidang akhbar tersebut diadakan kira-kira lima jam sebelum Biro Politik PKR bermesyuarat malam ini.

Sejurus selepas sidang akhbar yang berakhir dalam masa 20 minit itu, Manikavasagam menuju ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menyertai satu pertemuan yang dihadiri pemimpin-pemimpin PKR nasional.

Pertemuan tersebut sepatutnya diadakan di hotel yang sama di mana sidang akhbar Manikavasagam diadakan tetapi telah diubah di saat-saat akhir.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak meninggalkan parti itu seperti yang dinyatakan sebelum ini, Manikavasagam yang juga Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR berkata, beliau mahu mengadakan perbincangan dengan Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadiri konvensyen Parvasi Bharatiya Divas di Chennai, India bulan depan.

"Saya nak mengadakan perbincangan dengan Anwar dulu. Lepas itu, saya akan buat keputusan sama ada akan keluar atau tidak. Tunggulah," katanya.

Manikavasagam dalam satu temubual eksklusif dengan mStar Online Jumaat lalu menyatakan hasrat untuk keluar daripada PKR dan mahu menjadi ahli Parlimen Bebas.

Selain itu, Manikavasagam berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan bekas pemimpin Hindraf yang telah diharamkan, P. Waytha Moorthy ketika di Chennai nanti.

Mengulas mengenai keputusannya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR negeri, Manikavasagam berkata, keputusan itu adalah muktamad.

Ketika ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat Biro Politik yang akan diadakan malam ini, Manikavasagam berkata, beliau tidak dijemput.

Tambahnya lagi, beliau tidak kisah apa tentang apa jua keputusan yang bakal dibuat Biro Politik itu.

"Kalau mereka nak singkirkan saya pun, saya tidak kisah," katanya.--mSTAR

No comments:

Posting Terkini