Pages

Tuesday, December 16, 2008

Laksana Bida Kompetitif Untuk Elak Gejala Rasuah, Kata Najib

PUTRAJAYA, 16 Dis -- Kakitangan Perbendaharaan harus mengurangkan kuasa membuat keputusan berdasarkan budi bicara bagi menjauhi amalan rasuah dan mencapai tahap perkhidmatan yang lebih berintegriti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Kita seharusnya berpegang kepada nilai integriti dan membantu ke arah pengukuhan integriti dalam sistem perolehan," katanya.

Pendekatan itu merupakan antara enam langkah yang digariskan beliau, yang juga merupakan Menteri Kewangan, ketika merasmikan Sambutan Hari Kualiti Perbendaharaan Malaysia 2008 di sini.

Najib berkata antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kuasa budi bicara adalah dengan melaksanakan bida kompetitif.

"Dan dengan mengurangkan kuasa budi bicara juga akan dapat membantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam usaha untuk mencapai perkhidmatan yang lebih berkualiti," katanya.

Antara langkah lain yang diumumkan beliau adalah menentukan setiap wang yang dibelanjakan kerajaan akan memberikan hasil yang bernilai.

"Nilai untuk wang. Kita mesti tentukan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar membawa nilai kepada kerajaan," katanya.

Selain itu, Najib menggesa kakitangan kementerian itu supaya melihat penyelesaian masalah dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif.

"Dalam keadaan dunia yang sangat mencabar ini, mesti guna kemampuan berfikir untuk mencerna idea-idea yang lebih kreatif," katanya.

Najib juga berkata sebarang kecekapan di pihak kementerian itu akan menyebabkan kementerian lain turut mempertingkatkan kecekapan mereka juga apabila melibatkan wang untuk melaksanakan projek atau pembangunan.

Kakitangan perbendaharaan turut digesa supaya memperkukuhkan lagi modal keintelektualan mereka.

"Segala ilmu kepakaran dan pengkhususan yang berkaitan dan pengurusan ekonomi dan kewangan negara mesti diperkukuhkan supaya keputusan yang lebih tepat dapat dibuat," katanya.

Tambah beliau, kementerian itu juga memerlukan maklumat yang baik supaya keputusan yang dibuat adalah wajar dilaksanakan.

Sebelum itu, Najib berkata tahun ini dan tahun akan datang merupakan tempoh yang amat mencabar kepada perbendaharaan.

"Kita akan terasa beban dan cabaran yang harus kita pikul kerana rakyat meletak harapan besar kepada kerajaan daripada terus terjerumus kepada kegawatan ekonomi yang boleh membawa kegelisahan kepada rakyat," katanya.

Mengenai kualiti, Naji berkata ia seharusnya bermula di peringkat tertinggi sebelum turun ke peringkat bawahan.

"Komitmen (kepada kualiti) hanya berkesan jika ia bermula dari atas dan turun ke peringkat paling bawah. `Kualiti bermula di atas' mencerminkan bahawa penambah baikkan yang berterusan adalah amat penting sekali," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini