Pages

Tuesday, December 16, 2008

AmanahRaya Salur RM352,000 Kepada YES

KUALA LUMPUR 16 Dis -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) baru-baru ini menyerahkan sumbangan tajaan kenderaan Naza MPV kepada Yayasan Ekonomi Sejagat (YES) pada satu majlis yang berlangsung di perkarangan Wisma YES, Jalan Persekutuan, di sini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi AmanahRaya Datuk Haji Dusuki Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh, kepada Pengerusi YES Datuk Seri Mohd Yussof Latiff dan disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang sebelum itu merasmikan bangunan tersebut.

Wisma YES ialah pusat operasi YES, yang akan menjalankan aktiviti dan program nasional bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri dan perdagangan halal negara.

Selain kenderaan MPV, AmanahRaya juga menyerahkan sumbangan wang bernilai RM250,000 untuk membaik pulih dan mengubah suai Wisma YES serta penyediaan barangan kelengkapan pejabat.

Menurut AmanahRaya, acara ini merupakan sebahagian sokongan dan tanggungjawab sosial (CSR) AmanahRaya dalam membantu YES untuk membangunkan industri halal negara, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya.

AmanahRaya yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia, bertanggungjawab membantu kerajaan dalam merealisasikan Malaysia sebagai hab industri halal di rantau ini selari dengan perkembangan industri halal dunia pada masa ini.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini