Pages

Tuesday, December 16, 2008

Jakim berkempen sebab pengharaman yoga

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada umat Islam di negara ini berhubung pengharaman amalan yoga, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ekoran ramai pihak mempertikai mengapa amalan yoga diharamkan, maka Jakim sedang berusaha gigih memberi penerangan kepada masyarakat melalui siri-siri penerangan agar pemahaman yang jitu dapat disampaikan kepada seluruh masyarakat Islam dengan bantuan Jabatan Agama di peringkat negeri," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata punca mengapa masih banyak pihak yang membangkitkan isu berkenaan adalah disebabkan pemahaman masyarakat awam terhadap penyelewengan akidah melalui amalan yoga masih belum menyeluruh.

Beliau berkata pengharaman itu tidak sepatutnya menjadi satu perkara yang perlu diperbesarbesarkan sebaliknya harus dilihat sebagai satu perkara kecil atau biasa.

"Tidak perlulah memperbesar-besarkan isu ini, ia hanya perkara kecil. Pengharaman ini dibuat kerana kita mendapati terdapat penyelewengan akidah Islam melalui amalan yoga," katanya.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharam amalan yoga kerana mendapati senaman yoga mengandungi unsur-unsur agama tertentu, mantera dan pemujaan yang bertentangan dengan Islam. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini