Pages

Monday, December 29, 2008

Gerakan Guna Internet Dan Telefon Rayu Undi

KUALA TERENGGANU, 29 Dis-- Parti Gerakan akan berkempen dengan menggunakan telefon dan internet bagi mendekati pengundi luar dalam usaha untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan.

Setiausaha Agungnya, Teng Chang Yeow berkata walaupun Gerakan tidak mempunyai sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terenggganu, tetapi parti itu tidak mahu ketinggalan membantu BN untuk berkempen memenangi hati pengundi terutama pengundi luar.

Katanya dalam pilihan raya kecil berkenaan, Gerakan diberikan tanggungjawab untuk menjaga kawasan peti undi Paya Bunga yang terletak dalam DUN kawasan Bandar.

"Sebagai salah satu cara, kita sedang mengenal pasti pengundi luar Paya Bunga dan akan mendekati mereka dengan menggunakan telefon dan internet kerana ia merupakan cara yang paling efisien untuk menyampaikan apa jua maklumat mengenai BN," katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama Gerakan negeri di sini, Isnin.

Teng berkata mengikut rekod terdahulu, terdapat seramai 2,516 pengundi berdaftar di kawasan peti undi itu dan pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar pengundi luar bagi kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, pelbagai program juga diatur oleh parti Gerakan untuk mendekati pengundi terutama pengundi Cina sepanjang tempoh kempen pilihan raya nanti.

"Kita akan bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain termasuk Umno, MCA dan MIC dan seramai 200 orang anggota Gerakan dari seluruh negara akan turun untuk membantu kempen pilihan raya kecil kali ini," katanya.

Teng berkata anggota yang akan digerakkan itu berpengalaman membantu jentera BN dalam pilihan raya yang lepas dan mereka akan turut terlibat dalam menerangkan mengenai isu nasional yang diketengahkan oleh kaum Cina dalam pilihan raya nanti.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini