Pages

Monday, December 29, 2008

1,000 Anggota Umno Kedah Berkempen Di Kuala Terengganu

ALOR STAR, 29 Dis-- Umno Kedah akan menghantar 1,000 anggotanya untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkempen, untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Setiausaha BN Kedah Datuk Rozai Shafian akan mengetuai kumpulan anggota Umno itu, yang akan berada di Kuala Terengganu selama 13 hari, mulai 4 Januari ini.

Beliau berkata 200 petugas tetap dari Kedah akan ditempatkan di sekitar kawasan tempat mengundi di Tok Ku, Cabang Tiga dan Hiliran Masjid, yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar sepanjang tempoh itu.

"Anggota Pemuda, Puteri dan Wanita Umno itu ditugaskan untuk menarik undi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, terutama di kawasan DUN Bandar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan masyuarat khas Umno negeri yang membincangkan mengenai persiapan untuk ke Kuala Terengganu di sini, Isnin.

Mahdzir seterusnya mengumumkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Said Ali Said Rastam akan memangku jawatan Ketua Bahagian itu berkuatkuasa serta merta ekoran pengantungan Datuk Ahmad Lebai Sudin selama dua tahun bermula 17 Disember lepas.

Ahmad Lebai Sudin digantung dari jawatannya oleh Lembaga Dispilin Umno baru-baru ini selepas beliau didapati bersalah mensabotaj parti itu pada pilihan raya umum Mac lepas, dan menurut Mahdzir Said Ali akan memangku jawatan itu sehingga ke satu tarikh yang diputuskan Majlis Tertinggi nanti.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini