Pages

Sunday, November 9, 2008

Kerajaan Terengganu Sedia Jadi Penganjur Utama Kejohanan Kuda Lasak Dunia

SETIU, 9 Nov-- Kerajaan Terengganu bersedia menjadi penganjur Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) pada masa depan jika diberi peluang, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Jika diadakan kejohanan ini pada masa akan datang, kita bersedia menjadi penganjur utama kerana ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai selain dapat menggerak dan merancakkan aktiviti ekonomi negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah WEC 2008 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong dekat sini hari Ahad.

Pada kejohanan itu yang berakhir hari Sabtu, penunggang Sepanyol, Maria Mercedes Alvarez Ponton meraih gelaran juara bagi kategori individu manakala pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) muncul juara bagi kategori berpasukan.

Ahmad berkata pada WEC 2008, kerajaan negeri hanya membantu melicinkan penganjuran kejohanan itu yang dianjurkan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) dan diiktiraf oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).

Beliau berkata pada WEC 2008 yang berlangsung selama empat hari itu, ia mencatatkan rekod baru kejohanan berkenaan apabila 38.09 peratus atau 48 daripada 127 peserta menamatkan perlumbaan masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

Daripada maklumat yang diperolehi, beliau berkata FEI serta para peserta berpuashati dengan kemudahan yang disediakan di TIEP kerana ia bukan sahaja mempunyai trek tanah rata malah terdapat juga laluan pantai dan berbukit.

Ahmad berkata selepas kejohanan itu, TIEP akan digunakan untuk menganjurkan Kejohanan Piala Sultan serta beberapa kejohanan peringkat Asean tahun depan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan di TIEP dari semasa ke semasa bagi memastikan ia menjadi antara trek terbaik bagi kejohanan kuda lasak.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini