KUANTAN, 15 Okt-- Sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd memfailkan permohonan mandamus terhadap Menteri Besar Pahang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menuntut pembayaran saman RM60 juta.
Syarikat itu melalui Tetuan Peter Lai Rajoo & Aiza dalam pernyataannya mendakwa telah menuntut pembayaran amaun penghakiman dan faedah melalui surat peguamcara pada 27 Ogos tahun lepas, namun tidak mendapat sebarang bayaran.
Syarikat itu juga mendakwa pada 7 April lepas, telah menyerahkan surat perakuan mengikut Seksyen 33 Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan menuntut bayaran tetapi kerajaan negeri masih gagal membuat bayaran.
Pada 9 Dis 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah seluas 10,000 ekar (4,000 hektar) di Mukim Bebar, Daerah Pekan.
Syarikat pembalakan itu memfailkan tuntutan saman bagi kerugian yang terpaksa ditanggungnya selepas mendakwa berlaku pencerobohan oleh pihak ketiga ke atas baki tanah seluas 3,000 ekar (1,200 hektar) milik Umno Pahang itu.
Pada 17 Sept lepas, Kerajaan Pahang diperintah membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu.
Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan asal oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan Kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Dis 2000.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment