Singapura- KATA orang, sebaik-baiknya sediakan payung sebelum hujan.
Lantas, mempunyai dana kecemasan adalah satu langkah penting dalam membuat persediaan bagi menghadapi masa sukar.
Kesemua pengamat yang dihubungi Ekoniaga menekankan bahawa seseorang perlu mengetepikan simpanan antara tiga dengan sembilan bulan daripada pendapatan bulanan yang diraih.
'Tidak kisah berapa pendapatan bulanan anda, ia adalah amalan baik untuk mengetepikan sekurang-kurangnya enam bulan daripada perbelanjaan bulanan anda dalam bentuk wang tunai.
'Sekiranya anda bernasib malang dan kehilangan sumber pendapatan, sekurang-kurangnya keluarga terjaga untuk sekurang-kurangnya enam bulan,' kata Konsultan Kanan, Providend, Encik Leong Chin Huah.
Encik Leong menambah bahawa jika sumber pendapatan tidak stabil, dia harus mengetepikan jumlah yang lebih.
'Memandangkan ramalan ekonomi yang muram, ia munasabah untuk meningkatkan dana kecemasan bagi diri anda dan keluarga anda,' katanya lagi.
Perunding Cara Kewangan Financial Alliance, Encik Khairuddin Sukor, berpendapat bagi mempersiap diri bagi masa sukar, sebaik-baiknya mengetepikan sembilan bulan daripada perbelanjaan bulanan.
'Ambil kira bayaran ansuran hutang kereta, hutang rumah, insurans hayat, skim-skim simpanan untuk keluarga, bil bulanan dan sebagainya.
'Dan cuba kurangkan perbelanjaan bagi perkara yang tidak perlu seperti makan di luar, membeli-belah serta belanja bagi hiburan,' gesa Encik Khairuddin.
Beliau menambah bahawa jika seseorang mengurangkan perbelanjaan bulanan, lebih banyak wang boleh diketepikan bagi dana kecemasan.
Dan, jika dana kecemasan yang telah diketepikan tidak mencukupi, sebaik-baiknya bonus yang akan diterima hujung tahun ini tidak dibelanjakan dan digunakan untuk menokok dana kecemasan itu.
'Memang sebaiknya ia disediakan tahun lalu, semasa ekonomi menyerlah tetapi sekarang pun masih boleh ketepikan,' tambah Encik Khairuddin.
Antara cara terbaik merancang kewangan adalah dengan mencatatkan segala perbelanjaan agar seseorang dapat memantau rentak perbelanjaannya.
Namun, jangan terlupa merancang perlindungan insurans, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingCapital, Encik Alfred Chia.
'Pastikan perlindungan insurans bagi kesihatan - kita tidak mahu terperangkap dalam situasi di mana sudah jatuh ditimpa tangga.
'Kalaulah diberhentikan kerja dan jatuh sakit pula, bagaimana hendak melunaskan bil rawatan?' ujar Encik Chia.
Encik Leong pula berkata seseorang harus menilai keperluan jangka pendeknya iaitu kurang tiga tahun.
'Kaji semula rancangan anda dan kemampuan menyara rancangan itu serta adakah ia masih relevan,' ujar Encik Leong.
Menurut Encik Chia lagi, mereka yang mempunyai insurans hayat dan membuat pembayaran premium bulanan harus meneruskan komitmen tersebut kerana ia adalah rancangan jangka panjang.
'Jangan kita terlupa perancangan kewangan jangka panjang. Sekiranya kehilangan pekerjaan, kita boleh mendapatkan penasihat kewangan untuk menunda bayaran premium insurans hayat bagi beberapa bulan,' jelasnya lagi.
Encik Khairuddin menambah bahawa perubahan minda juga memainkan peranan penting, selain merancang perbelanjaan.
'Kita tidak boleh malu dan segan mencuba pekerjaan lain sekiranya diberhentikan kerja.
'Luaskan minda dan jangan cerewet memilih pekerjaan yang ditawarkan.
'Soalan cepu emas adalah berapa lama dan berapa teruk kemelesetan ekonomi kali ini, jika ia berlaku. Yang pasti, ekonomi semakin lemah dan keadaan tidak menentu. Kita harus bertindak sekarang dan tidak menunggu lebih lama ,' tegas Encik Khairuddin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment