Pages

Monday, October 20, 2008

PEKERJA MELAYU DIINGAT BERSEDIA HADAPI MASA SUKAR

Singapura- PARA pekerja Melayu kini perlu membuat persediaan bagi mengharungi masa-masa sukar sedang ekonomi negara mula merosot dan kadar pengangguran pula menunjukkan tanda kenaikan.

Bahkan, para pekerja berkemahiran rendah dijangka paling mudah terdedah dengan kemerosotan ekonomi, justeru mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap dalam masa sukar ini adalah sesuatu yang amat penting.

Memberi nasihat tersebut, Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Halimah Yacob, berkata jika krisis ekonomi menjejas syarikat-syarikat, pekerja Melayu juga tidak dapat lari daripada menghadapi risiko pemberhentian kerja.

'Mereka juga akan terjejas, terutama jika mereka bekerja dalam sektor-sektor yang terjejas. Pekerja berkemahiran rendah akan lebih terdedah kerana mereka lebih mudah dibuang kerja berbanding pekerja berkemahiran tinggi,' kata Cik Halimah ketika diminta mengulas mengenai kesan krisis kewangan Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum dapat melihat kadar pembuangan kerja yang besar berlaku memandangkan kesan krisis ekonomi mengambil masa manakala syarikat-syarikat mungkin perlu menepati permintaan-permintaan yang telah pun ditempah.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang ini pekerja juga boleh menjangkakan kenaikan gaji dan bonus yang lebih rendah sementara syarikat juga akan mula mengurangkan waktu kerja lembur.

'Oleh itu, walaupun tanpa pemberhentian kerja, pekerja perlu bersiap sedia menghadapi masa-masa sukar,' katanya.

Cik Halimah juga menasihatkan pekerja supaya berhati-hati merancang kewangan dengan berbelanja mengikut keutamaan yang penting, seperti mengutamakan pendidikan anak-anak.

'Perbelanjaan lain, jika mereka tidak penting boleh ditunda. Gunakan masa ini juga untuk meningkatkan kemahiran anda atau menyertai latihan semula apabila terdapat kemerosotan dalam permintaan,' katanya, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, juga telah mengingatkan warga supaya bersiap sedia menghadapi masa sukar sekurang-kurangnya sehingga tahun depan atau mungkin lebih panjang lagi.

Menurutnya, walaupun sistem kewangan Singapura masih baik dan ekonomi kekal berdaya saing, negara-negara Asia tidak dapat mengelak daripada terjejas dengan kelemahan ekonomi Amerika Syarikat, Eropah atau Jepun.

Menyentuh kesan krisis kewangan ini, Cik Halimah berkata krisis tersebut akan melihat lebih ramai pekerja kolar putih dalam sektor kewangan terjejas, seperti dalam perkhidmatan perbankan dan insurans.

'Hari itu, seorang telah memberitahu saya bahawa beliau telah mengiklankan pekerjaan bagi pegawai peringkat pertengahan dengan pengalaman perbankan, dan dalam masa sehari sahaja beliau menerima kira-kira 50 permohonan daripada calon-calon yang mempunyai kelayakan yang lebih tinggi,' ujarnya.

Menurut beliau, langkah bank-bank untuk lebih berhati-hati dalam meminjamkan kredit akan menjejas perniagaan dan pekerjaan.

Pada masa yang sama, mereka yang bimbang akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan pula mengurangkan perbelanjaan hingga menjejas pasaran produk pengguna, seperti yang sudah pun berlaku semasa bazar Geylang Serai Ramadan lalu.

Beliau berkata, pengajaran besar dari krisis kewangan ini ialah pekerja tidak harus berbelanja lebih daripada pendapatan mereka.

'Pengajaran ini juga perlu diambil berat oleh pemerintah, syarikat dan individu. Pengguna Amerika berbelanja AS$800 bilion ($1.185 trilion) lebih daripada pendapatan yang diraih setiap tahun.

'Mereka membeli rumah tanpa perlu membayar sesen pun dan mereka mempunyai skim yang membenarkan mereka menunda pembayaran pinjaman rumah untuk beberapa tempoh.

'...Mereka kini merasakan kesan daripada semua perbelanjaan yang keterlaluan ini,' kata Cik Halimah.

Parlimen dijangka membahaskan kesan kewangan krisis hari ini.

Cyberita

No comments:

Posting Terkini