Pages

Monday, October 20, 2008

YAACOB: KEMELESETAN MELANDA SINGAPURA BOLEH BAWA RAHMAT

Singapura- KEMELESETAN yang melanda Singapura boleh membawa rahmat kepada sekitaran.

Ini kerana dalam usaha para pengguna untuk lebih berhemat, mereka dijangka mengurangkan penggunaan elektrik, air dan bahan-bahan lain, menurut Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim.

Malah, Dr Yaacob berharap kemelesetan yang melanda negara itu boleh mengubah sikap warga Singapura dan menjadikan perubahan sikap itu sesuatu yang berkekalan.

'Kemelesetan yang melanda Singapura sudah tentu akan memberi kesan. Namun saya fikir kita patut melihatnya secara positif.

'Kita boleh menggunakan kemelesetan ini untuk menghantar mesej kepada warga Singapura tentang peri pentingnya mereka berhemat dalam penggunaan sumber tenaga dan memanfaatkannya secara optimum.

'Sudah tentu kita tidak sepatutnya membazir tenaga, kita tidak sepatutnya membazir elektrik kerana ia boleh menjejas ramai keluarga dan kita tidak boleh membenarkan orang ramai menggunakan air secara berlebihan.

'Lantas kemelesetan ini memberi kita peluang baru menyampaikan kepada pengguna mesej supaya mereka lebih berhemat dalam penggunaan sumber yang ada,' ujar Dr Yaacob sewaktu merasmikan Larian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Pulau Semakau semalam.

Larian CEO di Semakau itu diadakan sempena kempen Singapura Bersih dan Menghijau (CGS) yang dianjurkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Acara semalam ialah untuk menarik masyarakat peniaga agar lebih aktif menjaga sekitaran selain mengumpul dana bagi badan bukan pemerintah (NGO) sekitaran.

Dr Yaacob turut mendedahkan bahawa kementeriannya dijangka mengambil langkah berjimat cermat tahun depan.

Beberapa program yang melibatkan kesihatan awam akan diteruskan walaupun beberapa program seperti kesedaran awam mungkin disemak.

'Bagi program yang boleh dihentikan atau dikurangkan, saya fikir kami akan lakukannya.

'Namun kami tidak akan bertolak ansur bagi program penting yang membantu Singapura kekal bersih dan hijau.

'Program bagi memastikan Singapura bebas daripada denggi dan kerjasama dengan rakan-rakan masyarakat, ia mesti diteruskan kerana usaha menangani penyakit denggi bukanlah tugas pemerintah sahaja, malah ia juga melibatkan kerjasama rakan-rakan daripada sektor swasta dan awam.

'Program-program ini sudah tentu akan diteruskan,' ujar Dr Yaacob.

Mengenai usaha syarikat untuk lebih mesra alam sekitar pula, Dr Yaacob berkata pelan induk membantu mereka supaya lebih efisien dalam penggunaan sumber akan diteruskan.

'Saya fikir syarikat-syarikat kini akan melihat dengan lebih mendalam penggunaan tenaga mereka, dan bagaimana untuk mengurangkannya. Lantas belanjawan yang diperuntukkan bagi syarikat menjadi lebih efisien akan terus disediakan,' kata Dr Yaacob lagi.


No comments:

Posting Terkini