Pages

Thursday, October 16, 2008

MORO MAHU RUJUK KE PBB

MANILA: Gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam berkata mereka akan merujuk kes mereka kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Mahkamah Agung membatalkan perjanjian yang bakal memberi kumpulan itu autonomi lebih luas di selatan Filipina.

Kelmarin, Mahkamah Agung memutuskan, perjanjian yang bakal memberi MILF kuasa ke atas lagi 700 bandar dan kampung di Mindanao sebagai melanggar perlembagaan.

Mahkamah mendakwa pegawai pemerintah gagal memberi penerangan kepada masyarakat mengenai isu sebenar sehingga mereka mengadakan bantahan umum.

Ogos lalu, keganasan tercetus di wilayah itu, menyebabkan hampir 100 orang terkorban dan sekitar setengah juta penduduk hilang tempat tinggal, selepas ahli politik Kristian mengadakan bantahan ke atas perjanjian itu.

Pemerintah Filipina kemudian menangguhkan perlaksanaan perjanjian itu, menghentikan rundingan damai dan melancarkan serangan balas untuk menghukum tiga komander MILF yang dikatakan bertanggungjawab atas keganasan itu.

Ketua perunding MILF, Encik Mohagher Iqbal, berkata satu-satunya pilihan yang tinggal bagi pihaknya ialah merujuk perjanjian itu kepada PBB dan Muktamar Islam (OIC).

Langkah itu perlu diambil bagi mendapat jaminan ketetapan perjanjian itu akan dipatuhi jika rundingan disambung semula.

'Kami akan membawa perkara ini kepada satu wadah di mana suara golongan Moro akan didengari,' kata Encik Iqbal.

Beliau turut mengkritik pemerintah Presiden Filipina, Cik Gloria Arroyo, kerana membatalkan perjanjian itu selepas rundingan dijalankan selama 11 tahun.

Menurutnya, tindakan itu akan mendorong anggota militan yang selama ini menentang proses damai itu untuk melancarkan serangan baru.

MILF yang mempunyai sekitar 11,000 anggota militan telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah selatan Filipina sejak 1978.

Di sebalik kegenjotan terbaru itu, kedua-dua pihak berkata mereka akan menghormati gencatan senjata yang dipersetujui sejak 2003. -- AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini