Pages

Thursday, October 16, 2008

THAI, KEMBOJA KIAN TEGANG

PREAH VIHEAR (Kemboja): Dua askar Kemboja terkorban sementara lima askar Thailand cedera apabila pertempuran selama lebih dua jam tercetus di sempadan yang dipertikaikan dekat candi Preah Vihear di sini, semalam.

Gabenor wilayah utara Preah Vihear, Encik Preab Tan, berkata:

'Saya boleh mengesahkan ada pertempuran di antara tentera Kemboja dengan Thailand. Pihak Thai menembak kami dulu.'

Kementerian Luar Thailand bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

'Askar Thai menegaskan mereka tidak memulakan pertempuran ini dan kami kini mematuhi dasar perdana menteri untuk menunjukkan kesabaran,' kata jurucakap kementerian itu.

Komander tentera Kemboja, Brigadier Jeneral Yim Pim, berkata pertempuran itu telah berhenti dengan kedua-dua pihak cuba menjalankan rundingan gencatan senjata.

Isnin lalu, Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, menuduh sekumpulan askar Thai mencerobohi kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Beliau mengancam menjadikan kawasan itu medan perang jika askar Thai tidak berundur menjelang tengah hari kelmarin.

Semalam, Menteri Ehwal Luar Thailand, Encik Sompong Amornvivat, menggesa rakyatnya agar segera meninggalkan Kemboja.

'Para peniaga Thai yang tidak ada keperluan di Kemboja buat masa ini, harap pulang segera ke Thailand,' katanya.

Sebelum pertempuran itu berlaku sekitar 2.45 petang (waktu tempatan), Thailand meletakkan jet pejuangnya dalam keadaan bersiap sedia manakala Kemboja menyatakan askarnya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Kedua-dua pihak berkata, mereka menghantar askar tambahan ke kawasan sempadan dan bersedia untuk bertindak balas dengan tindakan ketenteraan jika diserang.

Pegawai kanan tentera udara Thai, Kapten Montol Satchukorn, bagaimanapun menegaskan, tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga dan tidak bermakna mereka akan melancarkan perang. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini