Pages

Wednesday, October 15, 2008

Kerajaan mahu semak semula projek awam: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketidaktentuan di dalam persekitaran ekonomi global kemungkinan menghendaki kerajaan menyemak semula sesetengah projek utama dan malah menangguhkan pelaksanaanya, yang termasuk di koridor ekonomi.

Perdana Menteri berkata langkah itu akan dilakukan bagi projek besar dan mahal.

“Keputusan telah diambil untuk menyemak sekali lagi pembinaan projek yang telah di kenal pasti untuk kita laksanakan dan bagi projek yang belum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Satu tindakan untuk menangguhkannya perlu juga diambil,” katanya, ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan menyemak semula projek berikutan masalah ekonomi global semasa.

Katanya kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek berdaya maju yang bakal dilaksanakan.

Sementara itu, Abdullah berkata ekonomi Malaysia berupaya untuk menahan tekanan dari trend menurun ekonomi global.

“Ekonomi kita mempunyai ketahanan. Itu satu kenyataan yang kita tahu.

"Ringgit kita kukuh dan rezab kita teguh dan sehingga peringkat ini, eksport kita boleh dikekalkan dan kita juga mempunyai imbangan perdagangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau berkeyakinan bahawa Malaysia boleh mengekalkan lajakan pertumbuhannya berikutan tinjauan ekonomi global.

Dalam tempoh mencabar ini, terutama mengambil kira senario politik yang aktif di negara ini, Abdullah berkata kerajaan telah memperkenalkan langkah untuk menangani keadaan sukar demi kebaikan rakyat.

Katanya ekonomi Malaysia yang pelbagai yang tidak bergantung semata-mata kepada Amerika Syarikat dan telah berpindah ke tempat lain seperti Asean dan China, sedikit sebanyak telah membantu menampan negara ini dari kemelesetan ekonomi global.

Abdullah berkata beliau juga berharap rakyat akan melabur dan membuat lebih banyak perbelanjaan kerana penggunaan domestik akan memacu ekonomi negara.

“Bagaimana pun, rakyat perlu diyakinkan dengan langkah yang kita ambil, selain dari kita hanya mengatakan bahawa ekonomi kita ada ketahanan sebab fundamentalnya kuat,” katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini