Pages

Wednesday, October 15, 2008

Akademi Kenegaraan Mampu Pupuk Semangat Patriotisme Golongan Muda

KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata semangat patriotisme mesti ditanam di hati sanubari rakyat negara ini kerana semangat itulah yang mengikat rakyat Malaysia sebagai satu bangsa tanpa mengira keturunan dan kaum atas dasar cintakan tanah air.

"Kita semua satu hati, satu matlamat. Kita semua satu kekuatan yang lahir daripada patriotisme dan cintakan negara Malaysia," katanya pada majlis penutupan Program Semangat Merdeka 2008 dan perasmian Akademi Kenegaraan di Jalan Bellamy di sini.

Abdullah berkata ke arah itu, Akademi Kenegaraan perlu memainkan peranan untuk memupuk semangat berkenaan, terutama dalam kalangan generasi muda negara ini.

"Tugas dan tanggungjawab Akademi Kenegaraan adalah sebagai pencetus semangat atau usaha untuk menebalkan lagi atau memperhebatkan lagi atau memperkasakan lagi semangat patriotisme rakyat Malaysia," katanya.

Beliau yang turut memuji pengarah filem Dr Shuhaimi Baba mengenai filemnya "1957 Hati Malaya" berkata: "Saya percaya filem ini akan jadi filem yang diminati dan akan diutamakan kerana orang amat terpengaruh dengan storyline dan sebagainya."

Abdullah berkata beliau mahu mereka yang menonton filem itu menjadi rakyat Malaysia yang patriotik dan cinta pada negara.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu mempelajari sejarah negara, perjuangan dan susah payah membangunkannya, sambil menambah, bangsa yang tidak mengenali sejarah hanya hidup untuk mencari makan atau bersikap materialistik.

Perdana Menteri berkata sesuatu bangsa akan menjadi mulia dan dianggap berdaulat sekiranya merdeka, justeru beliau berharap kemerdekaan negara ini diisi dengan pelbagai pembangunan supaya Malaysia menjadi negara yang berdaulat dan bermartabat.

"Tugas kita pasca merdeka ialah membina martabat untuk kemuliaan hakiki. Sebagai anak merdeka, kita sentiasa mengingati bahawa ini ialah negara kita, dan kita akan tentukan apa yang terbaik untuk kita melalui pengorbanan yang kita lakukan," katanya.

Pada majlis itu juga, Abdullah menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Records bagi kategori "Bilangan Tayangan Filem Terbanyak Berasaskan Komuniti Pada Satu Hari" kepada Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Datuk Shagul Hamid Abdullah.

Filem 1957 Hati Malaya telah membuat 170 tayangan di seluruh negara dengan jumlah 39,462 penonton dalam tempoh sehari pada 12 Okt lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini