By Wan Hamidi Hamid
OKT 21 — Apabila Umno membentuk Perikatan bersama MCA dan MIC lebih setengah abad lalu, ia adalah pakatan parti-parti berasaskan kaum. Tidak adil jika piawaian masa kini digunakan untuk mencemuh konsep perkauman masa lampau. Ia adalah kehendak rakyat pada masa itu yang masih terpisah antara satu sama lain.
Kini keadaan sudah banyak berbeza. Kefahaman rakyat terhadap negara dan kenegaraan telah bertambah baik melalui proses evolusi politik.
Peringkat pertama dilalui dari era Merdeka kepada usaha penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru yang berteraskan impian menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.
DEB telah sedikit sebanyak berjaya membawa masyarakat Melayu ke dalam arus perdana ekonomi dan pendidikan, dan ini memberi saham besar kepada Umno sebagai tunjang Barisan Nasional, khususnya sepanjang 1970-an dan 1980-an.
Namun, peringkat kedua merangkumi era di mana di kalangan orang Melayu sendiri sudah timbul kritikan terhadap pelaksanaan DEB yang didakwa menguntungkan kroni-kroni Umno dan BN sahaja.
Kini di peringkat ketiga, walaupun DEB sudah tamat tempohnya pada 1990, semangatnya masih kekal dalam dasar-dasar kerajaan BN yang ditunjangi Umno. Pelaksanaannya juga masih berteraskan era kronisme, dan bukan pada awal semangat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.
Kemelut politik ini telah menimbulkan semula semangat perkauman di kalangan parti-parti politik termasuk Umno yang berlumba untuk menjadi juara orang Melayu.
Persoalannya adakah Umno satu-satunya wadah untuk orang Melayu?
Pilihan raya umum lalu menyerlahkan satu dimensi yang tidak pernah dilihat selama ini — Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik mampu menawarkan alternatif kepada rakyat, termasuk orang Melayu.
Jika setengah kurun yang lalu, rakyat saling was-was antara satu sama lain, kini keadaannya berbeza. Masyarakat lebih bersifat adik-beradik — tetap ada salah faham dan pertelagahan tetapi lebih akrab berbanding era Merdeka.
Jika paduan Umno, MCA dan MIC atas nama Perikatan dahulu berteraskan kaum, Pakatan Rakyat kini berasaskan pelbagai kaum. Ini membuktikan usaha parti-parti pelbagai kaum pembangkang sepanjang 50 tahun lalu yang gagal menarik minat rakyat kini sudah mula diberi perhatian.
Namun, semangat kaum di kalangan rakyat tetap wujud walaupun kendur sedikit berbanding lima dekad lalu. Ketiga-tiga anggota Pakatan Rakyat tunduk pada kehendak masyarakat — PKR dan Pas bertunjangkan Melayu dan Islam manakala DAP majoriti Cina dan India. Sememangnya ini mungkin mengecewakan kalangan idealis yang mahu menghapuskan sama sekali politik perkauman tetapi ia adalah hakikat dan pragmatisme politik.
Dengan itu, sememangnya wujud alternatif buat orang Melayu yang sekian lama dimomokkan dengan kehancuran bangsa jika mereka memilih parti selain Umno sebagai wadah politik.
Jika pilihan raya umum lalu menjadi asas permulaan kepada perubahan positif masyarakat Malaysia, tidak mustahil pilihan raya umum akan datang akan memberi tamparan hebat kepada Umno yang kini mula dipertikaikan kepimpinannya oleh ahli-ahli komponen BN sendiri.
PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas berikrar mempertahankan kedudukan orang Melayu. Begitu juga Pas yang memberi jaminan Islam akan dijadikan asas kesejahteraan dan keselamatan orang Melayu tanpa mengenepikan hak setiap rakyat Malaysia. DAP akur dengan jaminan hak Melayu dan kaum lain dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan Umno dan BN yang bergerak atas asas perkauman telah bertembung sesama sendiri akibat masalah politik kaum yang ditiupkan dalam perjuangan mereka.
Bagi beliau, Pas sejak awal lagi menolak perkauman dengan menumpukan kepada Islam sebagai dasar perjuangannya untuk memberi kesedaran kepada umatnya bagi menjalin hubungan baik semua bangsa seperti saudara sendiri.
Hakikat inilah yang mengasaskan pragmatisme Pakatan Rakyat yang turut mempertahankan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan untuk orang Melayu tanpa menindas kaum-kaum lain.
Lagi pun, parti-parti politik tidak harus mempolitikkan kontrak sosial berhubung soal kaum dan agama kerana ia adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Mungkin masanya telah tiba untuk ahli dan penyokong Umno menilai semula politik perkauman sesetengah pemimpin mereka dan memilih jalan perubahan ke arah keadilan untuk semua. Walaupun jarang kedengaran suara mereka, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang mahu parti mereka lebih bersikap terbuka dan menolak amalan-amalan yang dianggap diskriminasi dan salah guna kuasa.
Jika Umno sendiri boleh berubah, tidak timbul masalah dalaman dengan anggota komponen BN. Apa yang mereka suarakan selama ini ialah menerima satu sama lain sebagai sahabat setara.
Kepimpinan Pakatan Rakyat juga sedar masalah besar yang terpaksa mereka hadapi dalam pilihan raya umum akan datang jika Umno mula mereformasikan diri dari sekarang.
Jika agenda reformasi kesemua parti – sama ada BN atau Pakatan - menjurus ke arah perpaduan yang tulen dan keadilan yang dilaksanakan, tidak perlu lagi bertelagah soal perkauman, Akhirnya yang menang bukan parti-parti politik tetapi semua rakyat Malaysia termasuk orang Melayu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment