Pages

Wednesday, October 29, 2008

Artis pernah dakwa diburu ah long tuntut nafkah

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

PETALING JAYA: Pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 40 yang sebelum ini menerima ugutan daripada ah long termasuk rumahnya disimbah cat, memfail dua tuntutan nafkah untuk dirinya dan anak-anak terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38 di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam Azlin, Fakhrul Azman Abu Hassan yang bercakap bagi pihaknya berkata kes tersebut difailkan kerana suami pelakon yang pernah dilanda kontroversi ini tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan rumah sehingga ke hari ini sejak 10 Julai lalu.

Sementara itu, Azlin turut menyatakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan oleh suaminya pada 27 Julai lalu seolah-olah mahu menceraikannya.

"Mesej tu bertulis minta berpisah dan jangan carinya lagi demi masa depan anak-anak," kata Azlin kepada pemberita di luar mahkamah.

Tambah Azlin, tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.

"Saya dah lama tak berlakon dan baru sahaja mula berlakon semula. Itupun tidak banyak. Saya dah tak boleh survive. Sebagai suami, dia perlu bertanggungjawab.

"Saya tak tahu dia di mana walaupun sudah bertanyakan keluarganya. Saya akan menghantar surat kepada keluarganya di Batu Gajah, Perak dan bertemu dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya memberitahu suami" jawab Azlin yang baru selesai pengambaran telefilem Iktikaf untuk TV3 dan terlibat dengan pengambaran enam episod dalam drama 20 episod Anak Betung.

Dalam masa yang sama, Azlin juga meluahkan dia tidak mahu bercerai dan semua yang dilakukan tiada motif untuk bercerai.

"Itu hak dia dan saya tak tahu isi hati dia. Selepas ini saya akan menunggu hari mediation pada 18 November depan," kata Azlin.

Dalam kata lain, kes tersebut meminta pihak defendan, Yazli supaya tampil ke mahkamah tersebut pada tarikh berkenaan, pukul 9 pagi.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang ah long.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Mohd. Yazli menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ah long selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

mSTAR

No comments:

Posting Terkini