PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang menahan kumpulan 11 individu yang mendakwa mereka penyokong kumpulan Hindraf kelmarin.
"Hujahnya masih samar dan tidak jelas.
"Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan justifikasi dari konteks perundangan dan hak asasi, bukan mengambil tindakan cacamarba yang hanya memburukkan keadaan," kata beliau dalam kenyataan disiarkan dalam blog beliau.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menambah, "entah apa pertimbangan dan percaturan pimpinan Umno-BN tatkala saban tahun mereka melakukan penindasan ke atas masyarakat India."
"Tahun lepas kita menyaksikan perobohan Kuil Rimba Jaya menjadi ‘hadiah’ Deepavali Umno-BN buat masyarakat India.
"Tahun ini, dalam keadaan beberapa hari saja lagi masyarakat India akan menyambut Deepavali, 11 individu ditahan - termasuk seorang anak kecil berusia 6 tahun - di saat mereka mahu menyerahkan memorandum secara aman di Pejabat Perdana Menteri semalam (kelmarin)," katanya lagi.
Semalam Mahkamah Majistret Kajang menetapkan supaya 10 daripada mereka direman selama tiga hari sebermula hari ini.
"Sekali gus keputusan mahkamah ini menafikan hak mereka untuk merayakan Deepavali sebagaimana masyarakat India lainnya," katanya.
Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kenyataan terdahulu Menteri Dalam Negeri bahawa Hindraf diharamkan atas alasan penganjuran demonstrasi yang menganjurkan keganasan adalah tidak munasabah.
"Waima ada pelanggaran undang-undang sekalipun, wajar bagi beliau membuktikan setiap butir katanya dengan fakta dan pembuktian jelas, bukan mengadu domba tanpa hala!
"Saya menyeru agar Kementerian Dalam Negeri khususnya Menteri yang berkenaan tidak bersikap selektif terhadap berpuluh lagi gabungan dan pertubuhan yang acapkali berselindung di sebalik sentimen perkauman sempit, sekiranya mereka mahu membuktikan mereka adil di mata rakyat," katanya lagi.
Tambah beliau, rakyat tidak boleh terus berkompromi dengan slogan anti-keganasan dan antisentimen perkauman untuk terus menghalalkan kezaliman.
mSTAR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment