Pages

Thursday, September 11, 2008

TV, radio perlu saingi kepantasan blog dan sms

SEREMBAN: Kepantasan media elektronik seperti radio dan televisyen dalam menyampaikan maklumat kini amat penting bagi mengimbangi kepantasan penyebaran maklumat oleh blog dan sms, kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf.

Ini kerana, katanya, radio dan televisyen serta media cetak tetap memainkan peranan penting bagi menyebarkan berita dan maklumat.

"Sudah pastinya apa yang disebarkan oleh media kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) adalah sesuatu yang benar, sahih dan tepat, dan bukannya mempunyai elemen sensasi yang belum boleh dipastikan seperti melalui sms, blog dan sebagainya.

"Ini kerana masyarakat selama ini pun memang telah sinonim sebagai apa yang disiarkan oleh RTM sebagai benar, tepat dan sahih," katanya di majlis pelancaran Chery Eastar MPV dan perasmian program visual radio 'Roadshow Oghok Pikuk Negerifm' di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Penyiaran negeri (Negerifm) Norbaiyah Baharuddin dan Pengurus Besar CE Distributions Sdn Bhd Raymond Chew.

Pada majlis itu, CE Distributions Sdn Bhd menaja sebuah kereta Chery Eastar MPV untuk kegunaan stesen radio, Negerifm.

Sementara itu, Kamaruddin menganggap perkongsian pintar di antara Negerifm dan CE Distributions Sdn Bhd sebagai suatu inisiatif yang amat baik ke arah memantapkan lagi fungsi radio kerajaan yang bertujuan menyebarkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat.

"Langkah ini akan membolehkan Negerifm semakin mendekati rakyat. Ini kerana melalui unit bergerak ini, penerbit dan kru liputan akan dapat sampai ke sesuatu lokasi berlangsungnya acara penting anjuran kerajaan dan sebagainya.

"Dari situ kru liputan akan dapat memberikan liputan secara lintas langsung (cross over) terus kepada siaran radio Negerifm," katanya.

Katanya pendekatan sebegini akan menjadikan peranan radio khususnya Negerifm terus relevan kepada masyarakat dan mampu bersaing dengan stesen radio swasta, disamping kemudahan sms dan blog yang berjaya mencuri minat dan perhatian masyarakat masa kini. / Bernama

No comments:

Posting Terkini