Pages

Tuesday, September 9, 2008

TIGA KES SALAH URUS DANA AWAM DIKESAN

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia telah mengesan sekurang-kurangnya tiga kes salah pengurusan dana awam dalam pelaksanaan program dan projek jabatan kerajaan, ekoran penelitian terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2007.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, berkata pihaknya mengenal pasti wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan dana kerajaan membabitkan kes berkenaan.

'Kita akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu mulai esok di semua jabatan terbabit. Kertas siasatan yang dibuka ini adalah peringkat permulaan dan mungkin ada beberapa kes lagi menyusul,' katanya kepada akhbar Berita Harian Malaysia kelmarin.

Laporan Ketua Audit Negara itu, yang dibentang di parlimen pada 29 Ogos lalu, mendedahkan wujud banyak kelemahan di beberapa kementerian dan agensi kerajaan Malaysia.

Antaranya ialah kehilangan peralatan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bernilai RM9.56 juta ($4 juta) dan kelemahan pengurusan sistem kompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) di beberapa negeri.

Tahun lalu, BPR menahan 15 individu, termasuk tiga orang awam di kalangan kontraktor dan perunding projek, hasil tindakan susulan pendedahan Laporan Audit Negara 2006.

Berikutan itu, 12 pegawai awam didakwa di mahkamah dengan pelbagai pertuduhan membabitkan penyelewengan dan salah urus dana awam.

Datuk Shukri berkata semua jabatan terbabit diharap dapat memberi kerjasama penuh kepada pegawai BPR yang menjalankan tugas untuk melengkapkan kertas siasatan, sama ada bagi mengumpul maklumat dan dokumen atau merekod keterangan. - BHM.

No comments:

Posting Terkini