Pages

Monday, September 29, 2008

Pertempuran Abdullah-Najib Mac ini?

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac 2009 akan datang.

Bagi membolehkan beliau mendapat pencalonan yang mencukupi, ketua-ketua bahagian yang tidak memihak kepadanya dilaporkan akan dimenangi hati mereka dengan pemberian pangkat dan darjat, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad mendedahkan perkara itu dalam blognya, kuda-kepang.blogspot.com.

Mengambilkira kemungkinan itu, beliau membangkitkan, jika Abdullah memperolehi pencalonan secukupnya untuk mempertahankan kerusi Presiden Umno, bagaimanakah pendirian timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak?

"Jika Najib juga menerima pencalonan secukupnya bagi kerusi Presiden Umno, adakah beliau sedia untuk menandingi Abdullah? Apakah reaksi para penyokong Najib yang kini bertungkus lumus berusaha mendapatkan pencalonan jawatan tertinggi ini sekarang?" tanya beliau.

Ruhanie menjangka, keputusan ini sama ada Abdullah akan bertanding atau tidak akan diumumkannya sebelum atau pada 9 Oktober ini.

"Abdullah mengambil keputusan ini setelah para pegawai dan orang-orangnya mengaudit jumlah pencalonan yang boleh beliau perolehi daripada bahagian-bahagian Umno di seluruh negara," katanya.

Daripada tinjauan rambang, kata beliau, menerusi pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara, beberapa pemerhati politik berpendapat, Abdullah boleh memperolehi jumlah kuota yang diperlukan untuk membolehkan beliau mempertahankan jawatannya.

Perdana Menteri memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Contohnya, Abdullah dijangka memperolehi sekurang-kurangnya 4 pencalonan daripada Johor, 2 daripada Melaka, 6 daripada Negeri Sembilan, 4 daripada Selangor, 4 daripada Perak, 12 daripada Pulau Pinang, 3 daripada Kedah, 5 daripada Kelantan, 2 daripada Terengganu, 3 daripada Pahang, 5 daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta 10 daripada Sabah, kata bekas Setiausaha Politik Tun Musa Hitam itu.

"Ramai pemerhati politik berpendapat, jika para pegawai dan orang-orang Abdullah berusaha secara pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara jumlah 60 pencalonan di atas mungkin boleh dimaksimakan mungkin hingga sekurang-kurangnya 65 pencalonan.

"Untuk memaksimumkan jumlah pencalonan ini, para pegawai dan orang-orang Abdullah dijangka mensasarkan tumpuan mereka kepada para perwakilan cawangan ke bahagian-bahagian," kata Ruhanie.

Lantaran itu, katanya lagi, Abdullah sedang didesak oleh "inner circle"nya untuk berikhtiar merobah keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 26 September lalu supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian Umno mulai 9 Oktober ini juga ditangguhkan ke Januari atau Februari 2009.

Beliau menjangkakan asas kukuh yang akan digunakan untuk menangguhkan persidangan perwakilan bahagian ini ialah untuk mengelakkan tempoh berkempen yang terlalu panjang bagi seluruh calon yang bertanding dalam pemilihan parti di peringkat pusat MT, Pergerakan Wanita Umno, Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri Umno.

Beliau mendedahkan tujuan sebenar cadangan penangguhan persidangan perwakilan bahagian itu adalah untuk memudahkan orang-orang Abdullah memenangi hati dan sokongan perwakilan cawangan-cawangan yang akan memilih calon-calon pucuk pimpinan tertinggi Umno dalam perwakilan bahagian masing-masing.

Bagaimanapun, rancangan itu kelihatan sukar untuk dilaksanakan apabila Ruhanie membangkitkan adakah MT akan bersetuju dengan usaha merobah keputusannya?

"Mungkinkah Abdullah akan diberika muka untuk berbuat demikian? Atau, mungkinkah MT akan bertegas mempertahankan seluruh keputusannya baru-baru ini tanpa sebarang perubahan?" tanya beliau._

No comments:

Posting Terkini