Pages

Sunday, September 28, 2008

Menteri Jepun letak jawatan selepas empat hari dilantik

TOKYO 28 Sept. – Menteri Pengangkutan, Nariaki Nakayama yang baru empat hari menduduki Kabinet meletakkan jawatan hari ini selepas membuat beberapa kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Pengundurannya memberi tamparan kepada Perdana Menteri baru, Taro Aso yang sedang menimbangkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya awal.

Nakayama yang merupakan menteri pertama meninggalkan Kabinet Aso dikecam hebat semalam kerana menggambarkan kesatuan sekerja guru yang terbesar di negara ini sebagai “barah” dalam sistem pendidikan dan berikrar untuk menghancurkan pertubuhan berhaluan kiri itu.

Kenyataan itu menandakan yang terbaru daripada beberapa kesilapan serius yang dilakukan oleh Nakayama, salah seorang sekutu Aso yang paling lantang menyuarakan pendiriannya.

“Kami tidak boleh menyatakan kenyataannya itu tidak mendatangkan kerosakan,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Takeo Kawamura pada satu sidang media selepas Aso menerima peletakan jawatan Nakayama, 65.

Menurut Kawamura, Kabinet kini perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Aso sedang bekerja keras dan cuba mendapat balik keyakinan rakyat.

“Itu sahaja yang mampu kami lakukan,” katanya. - Reuters

No comments:

Posting Terkini