KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meninggalkan Umno empat bulan yang lalu boleh kembali ke pangkuan parti itu bila-bila masa sahaja, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini semalam.
"Saya belum terima apa-apa (permohonan) tetapi jika beliau hendak kembali semula, kami tidak meminta beliau keluar, beliau boleh datang bila-bila masa," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.
Malah, menurut Tengku Adnan, MT belum mengetahui maklumat mengenai pertemuan peribadi melibatkan bekas Presiden Umno itu dan beberapa pemimpin parti termasuk Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hasrat Dr. Mahathir mahu kemnali ke Umno didedahkan oleh Muhyiddin kelmarin.
Dalam pada itu di IPOH, Anggota MT Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik hasrat Dr. Mahathir kembali kepada Umno kerana ia akan mengukuh parti serta memberi ruang kepada negarawan yang dihormati itu memberi pandangan dan nasihat yang lebih bermakna.
Beliau berkata pandangan dan nasihat yang diberikan oleh seorang negarawan dan mantan presiden sangat dihormati oleh semua peringkat di dalam parti.
"...pendapat Tun apabila beliau di dalam Umno adalah berbeza ketika beliau berada di luar Umno.
"Pendapat Tun sebagai ahli Umno dan sebagai mantan presiden tentu lebih bernilai dan mempunyai kredibiliti yang lebih dan semua ahli di peringkat akar umbi amat mengalu-alukan beliau kembali," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Badan Perhubungan Umno Perak di sini malam tadi.
Beliau mengulas pengumuman Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas Perdana Menteri itu telah bersetuju untuk menyertai semula Umno. Dr Mahathir keluar parti pada 19 Mei selepas kecewa dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ahmad Zahid berkata beliau percaya Dr. Mahathir membuat keputusan untuk kembali bukan kerana dipujuk tetapi mungkin kerana beliau sendiri berasa patut kembali bagi memperkukuhkan Umno yang sekarang menghadapi pelbagai masalah.
Beliau berkata apabila Dr Mahathir berada semula di dalam Umno, beliau boleh menyuarakan pandangan dan nasihat terus kepada pucuk pimpinan parti tanpa lagi berbuat demikian melalui saluran lain secara terbuka.
"Pak Lah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua naib presiden adalah pendengar yang baik dan berfikiran terbuka... pandangan daripada Tun adalah pandangan dari seorang negarawan berpengalaman yang harus diterima," katanya.
Langkah yang diambil oleh Dr, Mahathir harus dialualukan tanpa perlu timbul kekhuatiran daripada sesiapapun di dalam Umno, kata beliau.
Ditanya sama ada akan timbul masalah jika Dr. Mahathir terus membuat kritikan selepas menyertai semula Umno, beliau berkata sepedas mana pandangan beliau tetapi apabila dibuat daripada dalam ia akan dapat dibincangkan secara tertutup.
Ahmad Zahid juga yakin pemimpin dan anggota yang mengikut jejak Dr Mahathir keluar akan kembali semula bersama Umno.
"Walau tidak ramai (keluar Umno) walau hanya sekerat tapi kita tidak mampu hilang yang sekerat itu. Kita harus menambah kekuatan bukan kurangkan. Kalau cari yang baru kenapa tidak jemput yang lama, tidak ada yang baru kalau tidak ada yang lama...yang lama dihormati yang baru disayangi," katanya.
Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali adalah antara lebih 200 tetamu pada majlis itu yang berlangsung di Bangunan Umno Perak.
Umno Kedah menyambut baik hasrat Dr. Mahathir untuk menyertai semula parti itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Umno Kedah berharap langkah Dr. Mahathir itu akan membantu mengukuhkan Umno.
Umno Sabah turut menyambut baik hasrat Tun Dr. Mahathir itu kerana menurut
Timbalan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri itu, Datuk Masidi Manjun, Umno memerlukan sumbangan pemimpin dahulu dan sekarang untuk menghadapi keadaan politik semasa.
Katanya, Dr. Mahathir merupakan seorang ikon parti yang pendapatnya dihormati di seluruh dunia.
"Saya harap kepimpinan parti memberikan beliau ruang untuk menyuarakan pendapatnya mengenai cara untuk mengukuhkan Umno," kata Masidi. BERNAMA
Friday, September 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment