Pages

Friday, September 26, 2008

KDN Cadang Perkenal Semula Kad Pengenalan Hijau

IPOH, 25 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memperkenalkan semula kad pengenalan hijau yang dihentikan pengeluarannya pada 2004, bagi mengatasi masalah penduduk tidak berwarganegara di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata cadangan itu dibuat bagi membolehkan golongan itu diberi pengenalan diri untuk mereka menikmati kemudahan seperti pendidikan yang secukupnya serta peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Saya telah membawa cadangan itu ke Kabinet dan memberi arahan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat lawatan ke tempat-tempat terpilih di negeri-negeri bagi membantu mereka yang mempunyai kedudukan semacam itu supaya kita dapat menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk memberikan golongan itu identiti memandangkan mereka tidak boleh dihantar ke mana-mana kerana tempatnya di sini.

"InsyaAllah jika mereka mempunyai minat untuk menjadi penduduk tetap dan mendapat kerakyatan, bila mereka layak kita akan memberikan kerakyatan kepada golongan yang sebegini rupa," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa JPN di Kompleks KDN di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar mengenai seorang penduduk tidak berwarganegara, R.Ragu dari Segamat, Johor yang mendakwa telah diarah kakitangan KDN di Putrajaya untuk mendapatkan surat daripada Sultan Perak bagi menyokong permohonannya untuk mendapatkan MyKad.

Syed Hamid berkata jika dakwaan itu benar, ia sesuatu yang amat menyedihkan kerana adalah menjadi bidang tugas dan kuasa JPN untuk menyelesaikan masalah seumpama itu.

"Pada masa akan datang jika ada masalah macam itu, kalau ada kakitangan di peringkat bawahan yang tidak boleh menyelesaikannya kerana mereka mungkin tidak mempunyai kuasa, bawa kepada pegawai di peringkat tinggi atau bawa kepada saya...tidak ada masalah, kita akan cuba selesaikan," katanya.

Sambil memberi jaminan masalah yang dihadapi Ragu akan diselesaikan segera, Syed Hamid berkata Ragu yang lahir di Bagan Serai, Perak boleh mengemukakan permohonannya di ibu pejabat JPN Perak memandangkan beliau telah berada di sini.

"Dalam kes ini, kita akan memproses permohonan itu dan kita akan mengeluarkan kad pengenalan sementara dan saya harap kita akan dapat memberikan dia kedudukan sebagai penduduk tetap dan kemudiannya melihat kepada kemungkinan untuk memberikan dia kerakyatan," katanya.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan semalam menggesa kerajaan menubuhkan satu unit khas untuk mengatasi masalah birokrasi di JPN dan menyelesaikan permohonan kira-kira 30,000 penduduk di kalangan masyarakat India yang tidak berwarganegara.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini