Pages

Tuesday, September 9, 2008

Gerakan putuskan hubungan dengan UMNO P. Pinang

PULAU PINANG 8 Sept. - Gerakan Pulau Pinang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan UMNO Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta berikutan tindakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbau perkauman.

UMNO Pulau Pinang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, keputusan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat tergempar yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa perhubungan negeri.

Beliau berkata, ahli Gerakan berasa amat terkejut dan marah serta mengutuk tindakan dan tingkah laku Ahmad yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu.

Tsu Koon memberi tahu pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar jawatan kuasa perhubungan Gerakan Pulau Pinang di sini malam ini.

Tsu Koon turut menyelar tindakan Ahmad yang menyifatkan masyarakat Cina di Malaysia sebagai sama dengan kaum Yahudi di Amerika Syarikat yang menguasai ekonomi dan selanjutnya ingin menguasai politik, sebagai tidak bertanggungjawab.

Sementara itu Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Liow Tiong Lai turut menegaskan bahawa MCA Pulau Pinang memutuskan hubungan dengan Ahmad dan tidak akan menyertai mana-mana aktiviti anjuran UMNO Bahagian Bukit Bendera sehingga isu tersebut diselesaikan.

Malah, katanya, MCA juga akan berbuat perkara sama kepada mana-mana UMNO bahagian lain di negeri ini yang turut bersekongkol dengan Ahmad.

''MCA berasa marah, tersinggung, kesal dan hampa dengan tingkah laku angkuh beliau yang enggan menarik balik kenyataan dan meminta maaf terhadap kata-katanya yang telah menyakitkan hati dan perasaan orang Cina di negara ini," katanya.
Utusan Malaysia

No comments:

Posting Terkini