Pages

Thursday, September 18, 2008

Anwar gesa sidang khas Parlimen bincang undi tidak percaya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang Parlimen khas sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.

Ketua Pembangkang itu mengumumkan demikian pada sidang media di sini sebentar tadi.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Mengikut jadual asal Parlimen hanya akan bersidang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Anwar bagaimanapun tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi "bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya."

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

"Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya," kata beliau.

No comments:

Posting Terkini