Pages

Tuesday, September 16, 2008

Abdullah: Penubuhan kerajaan oleh pembangkang karut

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru esok sebagai sesuatu perkara yang karut.

Sambil menempelak tentang hasrat Pakatan Rakyat (PR) itu, beliau berkata pertukaran kerajaan baru seperti yang dicanangkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berlaku.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghentikan daripada memperkatakan dan menyebarkan tentang perkara tersebut.

"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini. Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.

"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin (Masjid Putih) di sini, malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah bersama isteri, yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kirakira pukul 6 petang tadi, turut menunaikan solat jemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, Abdullah meminta umat Islam supaya meningkatkan amal ibadat dan jangan terlalu ghairah untuk memperkatakan tentang soal pertukaran kerajaan baru sehingga terperangkap dalam penyebaran maklumat yang tidak betul.

"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelamkabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubungkait dengan pertukaran kerajaan.

"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.

Abdullah menyeru umat Islam supaya menunjukkan sifat kasih sayang serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan sifat itu diharap dapat diteruskan sepanjang masa bagi menguatkan lagi perasaan muhibah di kalangan rakyat negara ini.

Beliau juga meminta rakyat mengamalkan budaya berjimat cermat dan memastikan tiada pembaziran terutama dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
BERNAMA

No comments:

Posting Terkini