Pages

Sunday, August 31, 2008

BERI RUANG BAGI PANDANGAN RAKYAT

Oleh
Soraya Salim. Berita Harian Singapura


PENGGUNAAN media baru harus dilonggarkan bagi memberi ruang kepada orang ramai mengutarakan pandangan politik mereka dengan lebih bersemangat dan terbuka.

Teknologi itu pula harus dimanfaatkan untuk meningkatkan interaksi antara pemerintah dengan rakyat.

Saranan-saranan itu dibuat sebuah majlis yang dilantik pemerintah untuk mengkaji kesan media baru, iaitu Majlis Penasihat Kesan Media Baru Terhadap Masyarakat (Aims).

Dipimpin mantan ketua editor divisyen akhbar Inggeris dan Melayu Singapore Press Holdings, Encik Cheong Yip Seng, majlis itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama dalam kajiannya.

Ini termasuk penggunaan media baru oleh pemerintah untuk mendekati rakyat; kandungan politik dalam talian; perlindungan warga di bawah umur; dan tanggungjawab pihak ketiga, misalnya hos Internet, dalam isu-isu fitnah dalam talian.

Untuk menjalankan kajiannya, majlis 13 anggota dari pelbagai latar belakang itu telah melawat tujuh negara tahun lalu.

Laporan 95 muka surat Aims itu dibentangkan dalam satu sidang akhbar oleh Encik Cheong dan beberapa anggota panelnya semalam.

Antara lain, Aims menganjurkan agar pemerintah memikirkan semula cara ia mendekati rakyat dan mendapatkan pandangan mereka.

Pemerintah, misalnya, harus menyertai perbincangan yang berlaku di lelaman-lelaman blog.

'Orang muda kini semakin cenderung menggunakan media baru bagi mendapatkan pandangan, manakala media lama lebih digunakan untuk memperolehi fakta.

'Lantas, (media baru) akan menjadi wadah yang semakin penting dalam kehidupan warga dan pemerintah harus menggiatkan usaha mendekati warga dengan cara ini,' jelas Encik Cheong.

Demi memberi lebih kebebasan politik dalam media baru, majlis itu menyarankan agar beberapa peraturan dilonggarkan, termasuk Seksyen 33 Akta Filem dan Akta Pilihan Raya Parlimen.

Rancangan kebebasan politik berkaitan media baru itu pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan 17 Ogos lalu.

Misalnya, undang-undang boleh dipinda untuk membenarkan podcast, vodcast dan blog digunakan bagi pengiklanan pilihan raya secara dalam talian.

Sementara itu, bagi isu hangat filem parti politik pula, Aims menyarankan agar Seksyen 33 itu dilonggarkan untuk membenarkan filem-filem parti politik.

Bagi melindungi warga di bawah umur pula, sebuah agensi perlu dibentuk untuk menyelaras langkah keselamatan siber di samping meniadakan larangan terhadap 100 laman Internet.

Sementara itu, pihak ketiga seperti hos blog dan forum harus diberi perlindungan terbatas untuk menggalak perbincangan yang lebih bertanggungjawab di dunia siber.

Orang ramai dijemput memberi maklum balas terhadap saranan-saranan yang dikemukakan Aims di lelaman yang baru dilancarkan semalam iaitu, www.aims.org.sg.

Setelah enam minggu, semua idea dan pandangan yang diutarakan akan dinilai Aims sebelum ia menghantar laporan terakhir kepada Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian.

No comments:

Posting Terkini