Pages

Monday, February 7, 2011

Pertemuan tertutup PM Najib-Adun BN Sarawak


MIRI (Sarawak): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam mengadakan perjumpaan tertutup dengan 63 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Pertemuan itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini di sebalik desas-desus bahawa pilihan raya negeri itu bakal diadakan bila-bila masa.

Sarawak sedang membuat persediaan ke arah pilihan raya negeri yang mandatnya berakhir Julai ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, turut bersama Datuk Seri Najib dalam pertemuan itu.


Semasa ditemui pemberita sebelum itu, Datuk Seri Tengku Adnan berkata sesi pertemuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif perdana menteri Malaysia itu di bawah Program Transformasi Politiknya.

Pertemuan itu juga merupakan susulan perjumpaan Datuk Seri Najib dengan semua Ahli Parlimen (AP) BN di Kuala Lumpur pada 8 Januari lalu, katanya seperti yang dipetik agensi berita Bernama.

Selepas pertemuan tertutup itu, beberapa Adun BN Sarawak melahirkan rasa puas hati mereka.Namun, gambaran tentang pilihan raya negeri itu kelihatannya masih kabur.

Adun Samariang, Cik Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, menyifatkan pertemuan tersebut memberi semangat baru kepada Adun BN supaya menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

'Perdana Menteri menasihati saya agar terus rajin berkhidmat kepada rakyat kawasan saya,' katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan itu.

Adun Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi, pula berpendapat Datuk Seri Najib telah memberi perhatian serius terhadap setiap masalah yang dibangkitkan.

'Selepas bertanya soalan-soalan berkenaan masalah pembangunan di tempat saya, beliau mendengar dan memberi perhatian serius terhadap setiap jawapan saya,' jelasnya.

Sementara itu, Adun Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie, berkata beliau berasa lega dapat menyampaikan terus masalah rakyat di kawasannya kepada Datuk Seri Najib.

'Selain mendengar masalah rakyat, beliau memberi nasihat dan perangsang supaya saya berkhidmat dengan lebih baik lagi,' kata Datuk Ngusie.

Adun Pelagus, Encik Larry Sng, pula menyifatkan pertemuannya dengan perdana menteri itu sebagai peluang berterus terang tentang permasalahan di kawasannya.

'Saya berasa tiada apa-apa yang perlu disembunyikan semasa bertemu dengannya. Saya puas hati,' tegasnya.Datuk Seri Najib berada di Sarawak dalam rangka lawatan rasmi seharinya semalam.

No comments:

Posting Terkini