Pages

Friday, March 27, 2009

Pilihan raya kecil: Polis larang ceramah di tempat awam

SUNGAI PETANI: Parti politik dilarang mengadakan ceramah atau perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, bagi menjamin ketenteraman awam, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan.

Beliau berkata, polis mula menerima beberapa permohonan untuk mengadakan perhimpunan dan ceramah sepanjang tempoh berkempen itu.

"Kita tidak benarkan ceramah umum di tempat awam, tapi tiada halangan untuk lakukan (ceramah) di dewan atau tempat tertutup," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis gotong-royong sempena sambutan Hari Polis ke-202 di padang awam Taman Ria Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga telah mengadakan perjumpaan dengan semua calon dan wakil calon untuk membincangkan tentang peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian pilihan raya kecil itu pada 7 April ini.

"Selain itu untuk menjamin kawalan keselamatan, kita menganggap semua kawasan dalam DUN ini berpotensi berlaku perkara tidak diingini. Sebab itu kita sediakan bit-bit di sekitar kawasan DUN," katanya.

Sebanyak 17 bit polis sementara dibina di kawasan utama di sekitar Bukit Selambau untuk memantau keadaan keselamatan semasa di DUN itu dan telah mula beroperasi lebih seminggu lepas. - Bernama

No comments:

Posting Terkini