Pages

Friday, January 9, 2015

Jualan kereta dijangka meningkat 3.15 peratus tahun ini


KUALA LUMPUR: Jualan kereta di Malaysia dijangka meningkat 3.15 peratus kepada 685,950 unit pada tahun 2015.

Menurut Rakan Kongsi Kanan Frost & Sullivan, Kavan Mukhtyar, penurunan harga bahan api akan membawa kepada jualan kereta yang lebih tinggi bagi suku pertama tahun ini.

Mukhtyar berkata beliau menjangkakan jualan kereta kompak akan naik berikutan pengguna lebih berminat dengan kenderaan yang lebih jimat minyak.

Jualan untuk kereta nasional dan bukan nasional bagi 2014 dijangka mencecah 665,000 unit.

Bagi segmen pasaran kereta nasional, beliau menjangkakan bahagian pasaran sebanyak 53.2 peratus tahun ini sama dengan peratusan tahun 2014.

Bahagian pasaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd adalah sebanyak 33.1 peratus dan Proton Holdings Bhd pula memperoleh 20.1 peratus daripada keseluruhan sektor kereta nasional.

Syarikat kereta bukan nasional, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, telah meningkatkan penguasaan pasarannya kepada 12.3 peratus bagi 2014 berbanding 10.6 peratus pada 2013 manakala Honda Malaysia Sdn Bhd menyaksikan pertumbuhan sehingga 13 peratus bagi 2014 berbanding 8.8 peratus pada 2013.

Selain itu, beliau juga menjangkakan penguasaan pasaran kereta bukan nasional akan terus berkembang kerana pemain industri itu mempunyai rancangan untuk melakukan pemasangan di sini sebagai sebahagian daripada strategi merendahkan harga kenderaan keluaran mereka.

No comments:

Posting Terkini