Pages

Wednesday, January 14, 2015

1MDB gagal lunaskan hutang kepada bank RM2 bilion

1Malaysian Development Berhad (1MDB) gagal melunaskan hutang sebanyak RM2 bilion, yang sepatutnya dibayar pada penghujung Disember tahun lalu.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan hutang RM5.5 bilion yang dijadulkan dan distruktur semula pada November 2013.
Menurutnya, 1MDB meminta lanjutan untuk membayar balik hutang tersebut kepada bank-bank tempatan sehingga 31 Januari ini.
“Difahamkan daripada jumlah hutang itu, 58.99 peratus adalah kepada Maybank, 32.41 peratus kepada RHB, 4.06 peratus kepada Alliance Investment Bank, 3.24 peratus kepada Malaysia Building Society Berhad dan 1.29 peratus kepada Hwang DBS Investment Berhad,” katanya dalam sidang Media di Kuala Lumpur.
Menurut Mahfuz, sebelum ini kerajaan memberi jaminan bahawa 1MDB tidak akan pernah gagal dalam membayar hutang tersebut dan akan melunaskan mengikut masa yang ditetapkan.
“Pemilikan utama Maybank adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB) manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pihak berkepentingan dalam RHB iaitu pegangan sebanyak 41.4 peratus dan 65 peratus dalam Malaysia Building Society Berhad (MBSB),” tambahnya.

Sehubungan itu, Mahfuz risau akibat daripada kegagalan kerajaan membayar hutang tersebut, ia akan memberi impak kepada PNB dan KWSP kerana secara langsung melibatkan seramai 13 juta orang pencarum.
“Kita bimbang nasib 13 juta orang pencarum itu, jadi kita mahu pihak kerajaan bertanggungjawab untuk memberi jaminan kepada mereka dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Nasional serta KWSP tersebut.
Katanya, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB yang baharu mengesahkan lagi bahawa syarikat pelaburan itu mempunyai masalah pengurusan.
“Ia terbukti syarikat itu kronik sehingga terpaksa mencari tokoh baru dalam mengemudi syarikat yang kian tidak jelas hala tuju dan masa depannya,” ujarnya.
Awal Januari lepas, Arul Kanda Kandasamy dilantik sebagai presiden baru dan CEO 1MDB. Malah Arul Kanda digambarkan sebagai seorang pakar dalam menyelamatkan perniagaan yang bermasalah.

No comments:

Posting Terkini