WASHINGTON: Selepas berbulan-bulan menimbangkannya, akhirnya Amerika Syarikat semalam menggantungkan pengiriman peralatan tentera dan bantuan wang tunai kepada Mesir.
Langkah itu sebagai mengisyaratkan kebimbangan mendalamnya terhadap pertumpahan darah dan kurangnya usaha peralihan demokratik di negara Arab itu.
Washington berkata ia telah menghentikan pengiriman beberapa sistem ketenteraan berskala besar serta bantuan wang tunai AS$260 juta ($325.3 juta) kepada pemimpin tentera Mesir, yang ketika ini mentadbir negara tersebut selepas menggulingkan presiden pertama yang dipilih secara demokratik di negara itu.
Walaupun langkah Amerika untuk menyemak dasarnya sejak berdekad-dekad yanantag lalu itu bukannya sesuatu yang kekal, ia akan diteruskan "bergantung pada kemajuan berwibawa ke arah sebuah pemerintah awam yang inklusif, dilantik secara demokratik melalui pilihan raya yang bebas dan adil", kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Jen Psaki, dalam satu kenyataan.
Dilihat sebagai satu perubahan dramatik daripada sokongan tanpa bersyaratnya kepada Kahirah sejak bertahun-tahun lamanya, keputusan Washington itu akan menghalang pengiriman peralatan lebih besar, termasuk helikopter Apache, jet pejuang F-16, alat gantian kereta kebal M1A1 dan misil Harpoon, kata para pegawai kepada wartawan.
Mereka tidak membutirkan perangkaannya tetapi berkata, nilai kontrak yang dibekukan boleh mencapai "ratusan juta dolar dalam bentuk bantuan ketenteraan".
Pihak Mesir kelmarin mengumumkan bahawa bekas presiden Mohamed Mursi, yang digulingkan pada 3 Julai lalu, akan dibicarakan pada 4 November ini atas dakwaan menghasut pembunuhan pembantah yang memprotes terhadap pemerintahan beliau, yang hanya berjalan selama setahun itu.
Washington telah pun menghentikan pengiriman peralatan tentera yang mahal sejak rampasan kuasa itu. Encik Mursi telah ditahan selama beberapa bulan, sementara Ikwanul Muslimin (Ikhwan) diharamkan, asetnya dirampas dan para penyokongnya menghadapi tindakan keras pihak tentera.
Justeru, Presiden Barack Obama telah mengarahkan pasukan keselamatan negaranya menyemak bantuan tahunan Amerika berjumlah AS$1.5 bilion kepada Mesir. - AFP.
No comments:
Post a Comment