VATICAN CITY: Seorang utusan dari pusat pengajian tinggi terkemuka Islam, Universiti Al-Azhar di Kahirah, menimbulkan kemungkinan pulihkan hubungan dengan pihak Vatican semalam tetapi menggesa Paus Francis "mengambil langkah ke hadapan" dengan mengisytiharkan Islam sebagai agama aman.
"Masalah yang kami hadapi bukan dengan pihak Vatican tetapi dengan mantan Paus. Sekarang pintu Al-Azhar terbuka," kata Encik Mahmoud Abdel Gawad, utusan diplomatik kepada Imam Besar Al-Azhar, Encik Ahmed al-Tayyeb, kepada akhbar harian Italy, Il Messagero di Kahirah.
"Francis paus baru. Kami menjangkakan langkah ke hadapan daripadanya. Jika dalam salah satu ucapannya beliau mengisytiharkan Islam adalah agama aman, bahawa orang Islam tidak inginkan peperangan dan keganasan, itu sahaja boleh dianggap sebagai kemajuan," katanya.
Satu upacara pada Mac lalu, di mana Paus Francis mencuci kaki banduan muda di Rome, termasuk seorang gadis Islam, merupakan "isyarat yang sangat, sangat dihargai" oleh Al-Azhar, kata Encik Gawad.
Katanya, sekiranya Paus Francis menerima undangan pemimpin masyarakat Ortodoks Koptik, Paus Tawadros II, untuk mengunjungi Mesir, beliau juga boleh mengunjungi Universiti Al-Azhar.
"Pada ketika itu, hubungan dan dialog akan dipulihkan serta-merta," kata Encik Gawad.
Namun, Encik Gawad menolak kemungkinan berlakunya rundingan antara pemimpin tiga agama monoteistik, atau agama yang menyembah hanya satu Tuhan, seperti yang disebut dalam kalangan pemimpin Vatican.
Katanya, Universiti Al-Azhar "tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat dengan pihak Israel."
Pada 2006, Paus Benedict XVI, mencetuskan kemarahan dalam dunia Islam apabila beliau gambarkan Nabi Muhammad saw sebagai penghasut peperangan yang menyebarkan ajaran jahat.
Dialog disambung semula pada 2009 tetapi sekali lagi diputuskan setelah Paus Benedict XVI tegas menyeru agar masyarakat minoriti Kristian dilindungi menyusuli insiden pengeboman sebuah gereja di Iskandariah, bandar kedua Mesir, pada Januari 2011.
Paus Benedict XVI mengundur diri Februari lalu atas alasan usia yang semakin meningkat. - AFP.
No comments:
Post a Comment