JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Dr Nafsiah Mboi, berkata satu lagi virus baru flu burung dikesan membunuh puluhan ribu itik di Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
Namun, setakat ini tiada tanda ia boleh menjejas manusia.
Dr Nafsiah berkata, virus yang ditemui pada itik di seluruh Indonesia itu dipercayai telah melalui mutasi sebelum menjejas dan membunuh unggas terbabit.
"Sebelum ini kita menganggap itik adalah haiwan yang kebal daripada jangkitan virus, tetapi virus jenis baru ini, bagaimanapun, dengan mudah menyebabkan kematian ribuan unggas berkenaan," katanya.
Beliau menarik perhatian virus jenis baru itu tidak membunuh manusia berbanding virus jenis lama.
Dr Nafsiah, bagaimanapun, menegaskan pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan mengawasi sebarang kemungkinan ia akan menyerang dan membunuh manusia.
"Kami meningkatkan kapasiti 42 makmal yang sedia ada termasuk di luar Jakarta dan melakukan kajian untuk memastikan kesan virus ini terhadap manusia," katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Indonesia kehilangan nyawa paling ramai akibat wabak flu burung, dengan 159 kematian sejak 2003 daripada 359 kematian di seluruh dunia.
Sementara itu, Ketua Agensi Pertanian Jawa Barat, Encik Koesmayadie Tatang Padmadinata, berkata belum ada vaksin yang dapat memberi rawatan berkesan ke atas virus baru itu.
"Virus baru ini masih lagi dianggap keluarga H5N1 tetapi setakat ini ia hanya menyerang itik. Kami sedang menjalankan ujian ke atas vaksin jenis lama untuk mengetahui sama ada ia berkesan melawan virus baru ini," katanya.
Encik Koesmayadie berkata, kemunculan virus baru di Jawa Barat dilaporkan berlaku di daerah Bekasi, Subang dan Indramayu, menyebabkan kematian 2,907 itik. - Agensi.
No comments:
Post a Comment