Pages

Tuesday, December 18, 2012

Keganasan kian memuncak di Syria


NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, telah melahirkan rasa terkejut kelmarin dengan keganasan yang semakin memuncak di Syria, kata jurucakap Encik Ban.
"Terdapat laporan yang sangat membimbangkan awal minggu ini tentang pembunuhan beramai-ramai orang awam di perkampungan Aqrab dekat Hama, selain dakwaan pelancaran peluru berpandu jarak jauh di beberapa kawasan di negara itu," kata jurucakap Encik Ban, Encik Matin Nesirky, dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian yang berlaku di Aqrab, sehingga 200 anggota masyarakat minoriti Alawite cedera atau terbunuh dalam serangan ke atas perkampungan mereka di tengah Syria Selasa lalu, kata para aktivis pembangkang.
Jumlah kematian akibat insiden yang melibatkan kaum Alawite, bangsa Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, masih belum diketahui.
Terdapat juga laporan bahawa pemerintah Syria menggunakan peluru berpandu Scud.

Komander Amerika Syarikat-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jumaat lalu mengatakan perikatan itu telah mengerahkan sistem antipeluru berpandu Patriot di sepanjang perbatasan utara Syria kerana tentera Encik Assad telah menembak peluru berpandu Scud yang jatuh di kawasan negara jiran, Turkey.
Menurut Encik Nesirky, Encik Ban telah "menggesa semua pihak menghentikan semua bentuk keganasan".
"Menyasarkan orang awam atau melaksanakan operasi ketenteraan di kawasan-kawasan tempat tinggal awam secara sembarangan atau tidak adil yang membahayakan orang awam adalah satu jenayah perang," tambah beliau.
Naib Presiden Syria, Encik Farouq al-Sharaa, memberitahu sebuah akhbar Lebanon bahawa tiada pihak, sama ada tentera Encik Assad atau pihak pemberontak, akan memenangi perang di Syria. - Reuters.

No comments:

Posting Terkini