BAITULMAKDIS: Beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk memberikan taraf kenegaraan kepada Palestin, Israel kelmarin bertindak balas dengan mengumumkan tindakannya meluluskan pembinaan 3,000 rumah baru bagi rakyatnya di kawasan petempatan Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Seorang pegawai, yang enggan namanya disiarkan, berkata pemerintahnya juga memutuskan untuk mempercepat kerja-kerja perancangan bagi ribuan lagi rumah di kawasan yang sensitif itu, berdekatan dengan Baitulmakdis, yang disifatkan oleh para pengkritiknya bakal menyekat harapan rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara.
Keputusan yang dibuat di PBB kelmarin jelas menaikkan status Palestin dalam badan dunia itu. Ia kini menjadikannya "sebuah negara bukan anggota" PBB, berbanding dengan sebelum ini Palestin dianggap hanya sebuah "entiti".
Usul itu disokong oleh 138 negara, ditentang sembilan negara, manakala 41 negara tidak mengundi. Ia mencerminkan pengasingan diplomatik semakin meningkat bagi Israel.
Seorang pegawai Israel awal dari itu mengakui ia menandakan satu "kegagalan diplomasi besar" dan memberi amaran ia akan mengundang akibat yang bakal berlaku dengan cepat.
Rancangan untuk menempatkan ribuan rumah baru bagi para peneroka di tengah-tengah perkembangan itu memang dijangkakan. Namun, prospek membina rumah-rumah itu dalam satu kawasan yang dinamakan 'E-1', yang terletak berdekatan Baitulmakdis dan membahagi dua sebahagian besar kawasan Tebing Barat, dilihat sebagai berpotensi merumitkan lagi usaha mencari huraian damai.
Kira-kira 500,000 warga Israel tinggal di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur, tanah yang dirampas Israel dalam perang Timur Tengah pada 1967 - satu wilayah yang sedang dituntut oleh rakyat Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka.
Amerika Syarikat, salah satu daripada lapan negara yang menyokong Israel pada Perhimpunan Agung PBB, berkata rancangan pengembangan negara Yahudi itu tidak membantu dalam usaha memulakan semula rundingan damai antara Israel dengan Palestin. - Reuters.
No comments:
Post a Comment