Pages

Tuesday, November 6, 2012

Dunia harap Obama dipilih lagi


Presiden Barack Obama
Kebijaksanaan presiden diperlukan bagi tangani ancaman tebing fiskal yang boleh jejas ekonomi
TERDAPAT bukti mencukupi yang disokong tinjauan pendapat bahawa seluruh dunia merindukan kemenangan Presiden Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ini.
Sebagai contoh, satu laporan berita pada 22 Oktober lalu menyatakan bahawa tinjauan pendapat BBC World Service di 21 negara yang melibatkan 21,797 responden menunjukkan Presiden Obama mendapat sokongan 50 peratus, manakala pencabarnya daripada Parti Republikan, Encik Mitt Romney, hanya memperolehi 9 peratus.
Namun, ramai responden dari Pakistan lebih suka kemenangan Encik Romney dan ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan.
Sedang perhatian dunia tertumpu pada babak-babak terakhir kempen kedua-dua calon itu dalam usaha menguasai Rumah Putih, satu isu penting - yang menjadi asas perbahasan mengenai perbelanjaan, cukai, defisit dan hutang negara - masih berada dalam keadaan bahaya bak kereta yang menuju ke penghujung tebing yang amat tinggi.

Isu itu diistilahkan sebagai tebing fiskal (fiscal cliff) yang menanti dan akan mencengkam ekonomi Amerika Januari ini sekiranya satu tolak ansur untuk menghuraikan masalah tersebut, sejurus selepas pilihanraya nanti, gagal diperolehi antara Presiden Obama (yang ketika itu mungkin dipilih semula atau menunggu baki penggalnya sebagai presiden tamat) dengan Kongres senja (lame-duck Congress).
Encik Romney tidak mempunyai peranan dalam hal tersebut sekalipun dipilih sebagai presiden.
Ini kerana bagi tempoh 6 November hingga penguatkuasaan tebing fiskal pada 1 Januari depan, Encik Obama masih menjadi Presiden Amerika meskipun tewas, manakala Encik Romney setakat presiden dipilih dan hanya akan menjadi presiden selepas ditabalkan dalam satu majlis pada pertengahan Januari kelak.
Tebing fiskal yang melibatkan potongan perbelanjaan besar-besaran sekitar AS$109 bilion ($133 bilion) akan berkuat kuasa secara automatik sekiranya perbincangan antara Presiden Obama dengan Kongres untuk mendapatkan kata sepakat mengenai caracara mengurangkan hutang negara menemui jalan buntu.
Memburukkan lagi keadaan, potongan cukai era mantan Presiden George W. Bush kepada semua warga akan tamat menjelang akhir tahun ini.
Ramai pakar ekonomi dan penganalisis politik telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang kemungkinan berlakunya tebing fiskal itu dalam keadaan Amerika sedang melalui perjalanan panjang menuju ke arah pemulihan ekonomi yang perlahan dan menyakitkan, dan ini tentunya akan memburukkan lagi keadaan.
Mereka prihatin kemungkinan besar itu akan mengakibatkan ekonomi Amerika menjunam berputaran.
Dengan Eropah masih dibelenggu krisis kewangan, Asia kini merupakan satu-satunya kawasan cerah dalam ekonomi dunia.
Namun, berapa lamakah Asia dapat bertahan, memikul beban ekonomi dunia, masih menjadi tanda tanya.
Lantaran itu, jika Amerika (ekonomi terbesar di dunia) gagal atau enggan menangani masalah tebing fiskalnya sendiri, kemungkinan besar ia akan turut mengheret ekonomi dunia bersama menjunam berputaran.
Dilihat daripada sudut itu, Presiden Obama sudah tentu akan terus menjadi tumpuan dan perhatian dunia, tidak kira sama ada beliau menang atau tewas dalam pilihan raya kali ini.
MUNGKINKAH TEBING FISKAL LENYAP DENGAN KEMENANGAN OBAMA?
Kenyataan Presiden Obama minggu lalu yang menegaskan bahawa beliau yakin masalah tebing fiskal tidak akan berlaku sungguh melegakan.
Dalam satu wawancara dengan Encik Jay Leno, pengacara televisyen bagi rancangan ehwal semasa lewat malam, Presiden Obama berkata:
"Bukan susah untuk menghuraikan masalah ini. Ia memerlukan beberapa pilihan sukar" sambil menambah bahawa perbelanjaan bagi sebahagian program perlu dikurangkan, manakala kadar cukai untuk mereka yang berpendapatan lebih AS$250,000 setahun perlu dinaikkan.
Dalam hal itu, Presiden Obama mempunyai peluang meraih kejayaan dengan menghidupkan semula gagasan tawaran besarnya (grand bargain) untuk mengurangkan hutang negara melalui potongan perbelanjaan sebanyak AS$2.50 bagi setiap AS$1 kenaikan cukai.
Namun, peluang cerah tersebut sangat bergantung pada kemenangan Encik Obama dalam pilihan raya nanti.
Jika pihak Republikan dalam Kongres senja sekali lagi menolak gagasan Encik Obama, ia sudah jelas menunjukkan bahawa pihak Republikan berfikiran sempit kerana mementingkan ideologi daripada kepentingan ekonomi negara dan ekonomi dunia.
Namun, kali ini pihak Republikan tidak boleh lagi menggunakan alasan tersebut kerana pilihan raya sudah selesai dan Presiden Obama mempunyai mandat menghuraikan masalah itu dengan kemenangannya.
Pihak Republikan di Kongres masih boleh berkeras menolak gagasan Encik Obama sebagai melahirkan dendam kesumat mereka terhadap kemenangan Encik Obama.
Bagaimanapun, kali ini rakyat Amerika telah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan kemelut tersebut, yang telah melumpuhkan ekonomi dan politik negara mereka buat empat tahun lalu dan besar kemungkinan para politikus yang bersikap demikian akan menerima padahnya dalam pilihan raya Kongres pada 2014.
MUNGKINKAH OBAMA AKAN TUNDUK KEPADA KEMAHUAN REPUBLIKAN?
Bagaimana pula sekiranya pihak Republikan dengan kesedaran bahawa mereka berada dalam Kongres senja akan menolak gagasan Encik Obama?
Senario ini juga relevan sekiranya Presiden Obama tewas dalam pilihan raya kerana keadaan itu menunjukkan kewujudan bukan saja Kongres senja, malah presiden senja (lame-duck President) juga.
Implikasi di sebalik senario itu ialah kewujudan niat mahu 'mencampakkan' masalah tersebut kepada Kongres baru (dan juga presiden baru jika Encik Obama tewas) untuk menghuraikan masalah tebing fiskal itu.
Namun, Kongres baru juga diramalkan sebagai Kongres yang berpecah belah dengan pihak Republikan menguasai Dewan Perwakilan manakala pihak Demokrat pula Dewan Senat.
Lantaran itu soal bertolak ansur akan berulang kali muncul ke udara bagaikan sebuah radio yang rosak.
Presiden Obama nampaknya telah menduga kemungkinan itu apabila dalam wawancara dengan akhbar Des Moines Register pada 24 Oktober lalu beliau melahirkan keyakinannya jika dipilih semula, dalam masa enam bulan beliau akan mendapatkan perjanjian dengan pihak Republikan agar menghuraikan masalah tebing fiskal.
Namun hakikatnya, beliau tidak boleh menunggu sehingga enam bulan selepas pilihan raya untuk menyelesaikan isu tersebut kerana dalam tempoh itu, ekonomi Amerika dan dunia sedang teruk 'dibelasah' tebing fiskal kerana penguatkuasaannya pada 1 Januari depan.
Lantas, apakah helah Encik Obama membuat kenyataan tersebut?
Mungkin ia adalah satu strategi beliau demi mendapatkan satu perjanjian sebelum 1 Januari dengan tunduk kepada kemahuan pihak Republikan yang berdegil enggan menerima sebarang rumusan yang mengandungi langkah menaikkan cukai.
Yang penting, satu huraian jangka pendek dapat dipersetujui bagi mengelakkan ancaman tebing fiskal sebelum Januari.
Dalam pada itu, selama enam bulan, jika masih menjadi presiden, Encik Obama akan berusaha mendapatkan perjanjian jangka panjang dengan pihak Republikan agar mengurangkan hutang negara sebanyak AS$4 trilion dalam masa 10 tahun dan itu pun bergantung pada persetujuan pihak Republikan menerima kenaikan cukai yang sederhana.
Namun, dalam masa enam bulan juga, jika ancaman tebing fiskal lenyap, ekonomi Amerika dijangka pesat membangun dengan kadar pertumbuhan dan pengangguran yang lebih baik.
Jika ini berlaku, Presiden Obama tidak perlu lagi bertelagah dengan pihak Republikan mengenai kenaikan cukai kerana dalam keadaan ekonomi yang pesat membangun, kadar cukai tidak perlu dinaikkan untuk menangani masalah defisit.
Di sinilah letaknya kepintaran Presiden Amerika pertama daripada keturunan Afrika.
PENYELESAIAN PERLEMBAGAAN
Terdapat satu lagi cara untuk menghuraikan kebuntuan mengenai tebing fiskal itu walaupun besar kemungkinan cara tersebut tidak akan diajukan Presiden Obama.
Cara tersebut pernah disebut mantan Presiden Bill Clinton.
Dalam satu wawancara pada Julai 2011 berhubung dengan isu menaikkan had hutang negara, Encik Clinton berkata sekiranya beliau adalah Presiden Obama, beliau akan "menggunakan pilihan perlembagaan untuk menaikkan had hutang negara" dan "membiarkan mahkamah menghentikan tindakannya".
Menurut beliau, menaikkan had hutang negara diperlukan bagi melunaskan komitmen yang telah diperbuat lebih awal.
Walaupun ia merupakan isu yang berlainan, ia mempunyai kaitan rapat dengan isu tebing fiskal kerana pihak Republikan telah mengenakan syarat bahawa sebarang persetujuan mengenai kenaikan had hutang negara mesti disertakan dengan pelan bagi mengurangkan defisit belanjawan yang akan mengurangkan hutang negara.
Syarat itulah yang telah melahirkan fenomena tebing fiskal.
Melaksanakan cara Encik Clinton itu bermakna dengan arahan presiden, perbelanjaan sebanyak AS$109 bilion diluluskan bagi melenyapkan tebing fiskal.
Walaupun pelaksanaannya agak kecoh dari segi politik, dari segi ekonomi, ekonomi Amerika dan dunia akan berterima kasih kepada Encik Obama.
NOTA: Penulis mantan wartawan Channel NewsAsia.

No comments:

Posting Terkini