Pages

Monday, October 8, 2012

Wanita cuba pimpin Persaudaraan Muslim Mesir


Sabah Al-Saqari
CIK SABAH AL-SAQARI: Mahu pertingkat penyertaan wanita dalam politik.
KAHIRAH: Buat kali pertama kalinya, seorang wanita bertanding bagi mengetuai parti politik terulung Mesir yang juga pergerakan paling berkuasa di negara itu, Persaudaraan Muslim (Ikhwanul Muslimin).
Cik Sabah Al-Saqari berkata beliau mahu meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan mempertahankan hak wanita bertanding sebagai presiden - satu pendirian yang ditentang pertubuhan itu sendiri.
Pilihan raya dalaman parti tersebut, yang dijadualkan pada 19 Oktober, ialah bagi menggantikan Encik Mohamed Mursi, yang melepaskan jawatan pengerusi apabila menjadi presiden pertama Mesir yang dilantik secara bebas akhir Jun lalu.
Golongan liberal yang bimbang pemerintahan Islam akan mengehadkan hak wanita menuduh pencalonan Cik Saqari sebagai cubaan parti itu untuk memperbaiki imejnya, sekalipun Cik Saqari seorang veteran parti selama 22 tahun.

Beliau bertanding bagi menjadi pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik yang diwujudkan oleh Persaudaraan Muslim selepas kejatuhan mantan presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, Februari tahun lalu.
Selepas ditindas beberapa dekad oleh Mubarak, sayap politik itu menjadi alat yang membolehkan Persaudaraan Muslim berkuasa, mengalahkan aktivis dan golongan progresif yang menggerakkan revolusi.
Pencalonan Cik Saqari amat besar ertinya meskipun beliau dilihat tidak berpeluang menang kerana berhadapan dua tokoh kanan jawatan itu, Encik Essam El- Erian dan Encik Saad El- Katatni.
Turut bertanding ialah seorang ahli parti yang kurang dikenali, Encik Khaled Awda.
Ini bukan kali pertama seorang wanita terlibat dalam bidang yang dikuasai lelaki hampir keseluruhannya dalam Persaudaraan Muslim.
Parti itu pernah mempunyai ahli perundangan wanita dalam parlimen yang dibentuk selepas revolusi, yang kemudian dibubarkan .
Namun, kaum lelaki memonopoli proses membuat keputusan dan jawatan ketua parti selain hal ehwalnya.
Sebelum ini, Persaudaraan Muslim berkata ia menyokong penyertaan wanita dalam politik, perniagaan dan aspek kehidupan awam lain.
Namun, ia tetap menyokong peranan tradisional wanita sebagai ibu dan isteri, dan menegaskan kesetaraan tidak boleh melemahkan peranan itu atau membenarkan percanggahan dengan Islam. - AP

No comments:

Posting Terkini