Pages

Tuesday, October 9, 2012

Chavez menang pilihan raya Presiden Venezuela


CARACAS: Presiden Venezuela, Encik Hugo Chavez
LANJUT TEMPOH PRESIDEN: Encik Hugo Chavez memeluk erat bendera kebangsaan Venezuela di balkoni Istana Miraflores, di Caracas, selepas beliau diisytiharkan pemenang pilihan raya presiden negara itu, semalam. -  Foto REUTERS
CARACAS: Presiden Venezuela, Encik Hugo Chavez, kelihatan seperti tidak gentar terhadap ancaman penyakit barah dan kegagahan sebuah pasukan pembangkang yang lebih bersatu semalam apabila beliau memenangi pilihan raya presiden negaranya dan mendapat mandat enam tahun lagi untuk meneruskan revolusi sosialisnya yang dibiayai wang minyak.
Pesaing beliau, Encik Henrique Capriles, gabenor wilayah Miranda berusia 40 tahun, menerima kekalahannya dengan baik sambil berkata: "Saya menerima dan menghormati keputusan rakyat."
Namun, ia tetap merupakan kekalahan yang pahit untuk ditelan oleh pihak pembangkang dan penyokongnya dalam negara yang berpecah belah itu.

Persembahan bunga api diadakan di seluruh Caracas sedang para penyokong Encik Chavez meraikan kemenangan pemimpin mereka itu di hadapan istana presiden, selepas keputusan hampir rasmi menunjukkan Encik Chavez memenangi 54.42 peratus undi berbanding 44.97 peratus yang diraih Encik Capriles.
"Terima kasih kepada rakyat yang kukasihi!!! Viva Venezuela!!!" tulis Encik Chavez, yang telah memegang tampuk pemerintahan selama hampir 14 tahun dalam akaun Twitternya selepas Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) Venezuela mengumumkan keputusan tersebut.
"Terima kasih Tuhan! Terima kasih kepada anda semua!" tambah pemimpin Venezuela itu.
Keputusan pilihan raya yang mencatatkan penyertaan 80.94 peratus pengundi daripada jumlah pengundi berdaftar di Venezuela menunjukkan persaingan lebih sengit yang dihadapi Encik Chavez sejak beliau memimpin negara itu hampir 14 tahun lalu.
Beliau memenangi pilihan raya presiden 2006 dengan meraih 62 peratus undi dan dengan perbezaan 25 mata.
Selepas 90 peratus daripada undi dikira, Encik Chavez memenangi 7,444,082 undi berbanding 6,151,554 undi bagi Encik Capriles - menunjukkan adanya perpecahan ketara dalam negara Amerika Selatan yang kaya dengan minyak itu.
Encik Chavez mendahului lawannya dengan jurang 10 mata dalam satu tinjauan pendapat sebelum pilihan raya kelmarin, tetapi tinjauan-tinjauan lain menunjukkan persaingan lebih sengit.
Ratusan penyokong Encik Chavez berkumpul di hadapan istana presiden Miraflores sebelum keputusan diumumkan.
Mereka membakar mercun dan membunyikan hon serta membawa sepanduk sedang lagu kempen beliau dimainkan.
Pakar-pakar pilihan raya berkata sistem undian elektronik yang digunakan boleh dipercayai tetapi terdapat kecurigaan terhadap kemungkinan wujudnya suasana di mana mereka yang tewaskan tidak mahu mengaku kalah.
"Untuk mengetahui bagaimana anda boleh menang, anda harus tahu bagaimana anda kalah," kata Encik Capriles untuk meredakan kecurigaan itu.
"Bagi saya, apa yang dikatakan oleh rakyat tidak boleh dipersoalkan lagi," tambah pemimpin demokrat itu. - AFP.

No comments:

Posting Terkini