Pages

Tuesday, October 9, 2012

PM baru Libya dipecat susuli undi tidak yakin


TRIPOLI: Kongres Kebangsaan Libya memecat perdana menterinya yang baru dilantik dalam satu undi tidak yakin, awal semalam.
Undi itu dibuat selang beberapa minit selepas Perdana Menteri Mustafa Abushagur menamakan 10 menteri barunya - usaha kedua dan terakhir beliau yang gagal membentuk sebuah pemerintah - setelah beliau terpaksa menarik balik senarai kabinet pertamanya menyusuli beberapa bantahan.
Kongres Kebangsaan Libya kini perlu memilih perdana menteri baru yang boleh membentuk sebuah pemerintah yang mampu kekal, pada ketika negara yang merupakan antara pengeksport minyak dan gas terbesar di dunia itu cuba melangkah keluar daripada perang saudara yang menggulingkan bekas pemimpinnya, Allahyarham Muammar Gaddafi.
Encik Abushagur dilantik dewan tersebut pada 12 September lalu sebelum mengumumkan pembentukan sebuah pemerintah baru dengan 29 kementerian, minggu lalu.

Beliau kemudian terpaksa menarik balik senarai itu selepas tercetusnya beberapa bantahan daripada kongres kebangsaan dan pihak awam Libya, yang menyatakan ia tidak mewakili keadaan sebenar negara itu.
Ratusan penduduk bandar Zawiyah, di bahagian barat Libya, telah mengadakan bantahan pada Khamis lalu.
Senarai aslinya mengandungi ramai tokoh tidak dikenali dan dipercayai turut menyertakan beberapa anggota cabang politik kumpulan Persaudaraan Islam.
Namun, tiada calon daripada Perikatan Kuasa Kebangsaan (NFA), sebuah perikatan berhaluan liberal utama di Libya, yang disertakan.
Selepas menarik balik senarai awalnya itu, Encik Abushagur diberi tempoh 72 jam untuk menamakan pemerintah baru oleh Kongres Kebangsaan Libya atau menghadapi undi tidak yakin.
"Senarai pertama tidak berjaya, ia mempunyai beberapa kesilapan, dan saya sedia membetulkannya," kata Encik Abushagur kepada Kongres Kebangsaan Libya, kelmarin.
"Beberapa entiti politik yang meminta beberapa kedudukan mula membincangkan undi tidak yakin. Saya tidak akan tunduk kepada tekanan entiti-entiti politik itu," tambah beliau, merujuk kepada tekanan yang dihadapinya daripada beberapa parti politik yang mahukan peranan tertentu dalam kementerian yang bakal ditubuhkannya itu.
Libya memerlukan pemerintah yang sah agar dapat menumpukan usaha ke arah pembinaan semula dan memulihkan perpecahan hasil menyusuli perang saudara yang menggulingkan Encik Gaddafi itu.
Sementara itu, seorang jurucakap NFA, Encik Hamuda Syala, berkata perikatan itu telah diketepikan dalam senarai asal Encik Abushagur, tetapi menegaskan bahawa NFA sedang berunding dengan Parti Keadilan dan Pembangunan (JDP) - cabang politik Persaudaraan Islam - untuk mencari "pemimpin sesuai mewakili pilihan Libya". - Reuters.

No comments:

Posting Terkini