Pages

Saturday, October 6, 2012

Ramalan kesan atas BN jika Pak Lah bersara


Tun Abdullah Ahmad Badawi,
GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) mungkin kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas pada pilihan raya umum akan datang jika penyandangnya sekarang, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga mantan perdana menteri Malaysia, memutuskan akan bersara daripada politik, menurut Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP).
Satu laporan laman berita Free Malaysia Today (FMT) semalam memetik presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Encik Rahmad Isahak, sebagai berkata dengan kehilangan sebuah kerusi parlimen dan kemungkinan dua lagi kerusi dewan undangan negeri (DUN), adalah sukar bagi BN merampas semula Pulau Pinang.
Beliau berkata di kalangan orang politik percaya bahawa Tun Abdullah, yang lebih mesra dipanggil 'Pak Lah', akan bersara sebaik sahaja parlimen sekarang dibubarkan.
Ini berikutan peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri pada 2009.
Tun Abdullah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen (AP) Kepala Batas sejak 1978, dan beliau dianggap antara ahli politik paling kanan di Pulau Pinang dan Malaysia.

Selepas pengunduran Pak Lah, Umno Pulau Pinang belum mempunyai pemimpin berkaliber untuk mengisi jawatan yang dikosongkannya itu, dakwa Encik Rahmad.
"Persaraan beliau mungkin menyebabkan Umno kehilangan kerusi parlimen Kepala Batas dan mungkin dua lagi kerusi kepada PAS (Parti Islam SeMalaysia)," kata beliau.
Terdapat sedikit pertikaian di kalangan anggota yang taat kepada Umno setempat untuk bertanding bagi mengisi kerusi Pak Lah, kerana ia memang sudah menjadi budaya dalam parti itu, tambahnya.
Ini akan menyebabkan BN-Umno kehilangan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijadualkan diadakan pada sebarang masa dari sekarang hingga Mei tahun depan, jelas Encik Rahmad.
Sehingga kini, Umno masih belum mendedahkan status Pak Lah di Kepala Batas.
Awal tahun ini, Pak Lah dilaporkan memikirkan tentang persaraannya daripada politik.
Encik Rahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa BN boleh memenangi semula Pulau Pinang jika Umno mempertahankan 11 kerusi DUN di sana, dan perikatan itu mencapai formula "3-3-3-1" yang dirancangnya.
Formula itu akan melihat Umno memenangi tiga kerusi tambahan, manakala Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Gerakan memenangi tiga kerusi setiap satu, dan Kongres India Malaysia (MIC) memenangi satu kerusi berbanding dengan 11 kerusi yang ada sekarang.
Datuk Seri Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan Malaysia, dilaporkan sebagai berkata bahawa BN boleh membentuk sebuah kerajaan minoriti, dengan memenangi satu kerusi majoriti mudah jika formula itu berjaya dilaksanakan.
Encik Rahmad tidak bersetuju, sambil berkata bahawa Umno Pulau Pinang perlu lebih kukuh daripada sekarang jika ia mahu formula itu dicapai.

No comments:

Posting Terkini