TOKYO: Taufan Jelawat yang bertiup kencang semalam bergerak ke arah pulau besar Jepun setelah melanda pulau selatan, Okinawa, lapor agensi kaji cuaca kebangsaan negara itu.
Tiupan angin akibat taufan amat kuat untuk menterbalikkan kenderaan.
Angin kencang yang bertiup dengan kelajuan sehingga 234 kilometer sejam itu telah mencederakan sekurang-kurangnya 51 orang di Okinawa.
Ia termasuk seorang lelaki yang jarinya putus setelah pintu rumahnya terhempas tutup, lapor rangkaian televisyen kebangsaan Jepun, NHK.
Polis Wilayah Okinawa menyatakan, sehingga petang semalam ia telah secara rasmi mengenal pasti sekurang-kurangnya enam kes kecederaan yang disebabkan taufan itu.
Tambah mereka, jumlah kecederaan mungkin meningkat melebihi 20 orang.
Syarikat Tenaga Elektrik Okinawa menyatakan 220,600 rumah di wilayah itu terputus bekalan elektrik.
Tiupan kencang angin akibat taufan itu juga menyebabkan kereta terbalik dan jalan raya terhalang.
Ia menambah kepada kekecohan trafik, termasuk pembatalan penerbangan dan perjalanan feri.
Sehingga 2 petang semalam (waktu tempatan), taufan Jelawat berada sekitar 30 kilometer ke barat daya pulau Yoronjima, dekat wilayah Kagoshima, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Ia sedang bergerak ke arah timur laut mengahala ke Tokyo dengan angin bertiup pada kelajuan 30 kilometer sejam.
Angin kencang dan hujan lebat dijangka melanda ibu kota negara Jepun itu hari ini dan esok, kata agensi itu lagi. - AFP.
No comments:
Post a Comment