LOS ANGELES: Seorang hakim federal kelmarin memutuskan lelaki California yang bertanggungjawab atas penerbitan filem anti-Islam yang mencetuskan bantahan di Timur Tengah mungkin melarikan diri dan mengarahkan supaya dia ditahan.
Menyebut pelbagai contoh penipuan, Ketua Majistret Daerah Tengah Amerika Syarikat, Hakim Suzanne Segal, berkata Nakoula Basseley Nakoula patut ditahan setelah para pegawai mengatakan dia melanggar syarat probesyen setelah didapati bersalah atas tuduhan penipuan cek pada 2010.
Nakoula, 55 tahun, diberkas kelmarin kerana dipercayai melanggar lapan syarat probesyen, termasuk berbohong kepada pegawai probesyen dan menggunakan nama samaran.
Nakoula mungkin menghadapi tuduhan baru yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, kata pihak berkuasa.
Nakoula akan kekal di penjara sehingga satu lagi perbicaraan dengan hakim akan memutuskan jika dia telah melanggar syarat probesyennya.
Setelah didapati bersalah pada 2010, Nakoula dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan dilarang menggunakan komputer atau melungsuri Internet selama lima tahun tanpa kebenaran pegawai probesyen.
Pada Julai lalu, treler sepanjang 14 minit filem The Innocence of Muslims dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube, membawa kepada bantahan tercetus di Timur Tengah.
Nakoula, seorang Kristian yang berasal dari Mesir, bersembunyi setelah dia dikenal pasti sebagai lelaki yang bertanggungjawab menerbitkan treler itu, yang menggambarkan Nabi Muhammad saw sebagai kaki perempuan dan pencabul kehormatan kanak-kanak.
Peguam bela Nakoula, Encik Steven Seiden, memohon agar perbicaraan diadakan secara tertutup dan anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin AS$10,000 ($12,243).
Nakoula sering melaporkan diri kepada pegawai probesyennya dan tidak membuat sebarang percubaan mahu meninggalkan kawasan California Selatan, katanya.
Menurut Encik Seiden, beliau bimbang Nakoula mungkin dalam bahaya di penjara kerana adanya banduan Islam tetapi pihak pendakwa berkata dia mungkin diletakkan di bawah tahanan perlindungan. - AP.
No comments:
Post a Comment