PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa seorang lagi pemimpin politik di Sabah akan mengumumkan pendirian menyokong pembangkang ketika lawatannya ke negeri itu pada Ahad ini (12 Ogos).
Tanpa mengulas lanjut, ketua pembangkang itu bagaimanapun menegaskan tidak menjanjikan kejutan besar bakal berlaku pada tarikh itu seperti yang pernah dijanjikannya untuk membentuk kerajaan pada pada 16 September 2008.
"Yang penting kejutan itu daripada rakyat...kebangkitan rakyat. Apa yang kita sebutkan sebagai kejutan itu sebenarnya adalah kebangkitan rakyat.
"Kebetulan beberapa tokoh turut serta (sertai Pakatan Rakyat) dan pada 12 Ogos ini seorang lagi akan umumkan (penyertaan)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini, Khamis.
Anwar dijadual mengadakan lawatan ke kawasan Parlimen Kota Marudu dan Kota Belud pada Ahad ini.
Kedua-dua kawasan berkenaan kini diwakili Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bulan lalu, Datuk Lajim Ukin mengumumkan perleletakan jawatannya dalam Umno manakala Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing, melepaskan jawatan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) untuk menyokong pembangkang.
Ditanya sama ada fenomena yang cuba dicetuskan di Sabah hanya sekadar janji palsu seperti 16 September 2008, Anwar bagaimanapun menyangkal pandangan itu sebaliknya menjelaskan pembangkang kini mahu memberi fokus untuk menghadapi pilihan raya umum. - mstar
No comments:
Post a Comment