Pages

Monday, June 18, 2012

'Rapper' kini perjuang demokrasi Myanmar

YANGON: Dulu dikenali sebagai seorang 'rapper' pihak pemberontak lengkap dengan gitar elektrik dan bertatu. Kini, Encik Zayar Thaw bertekad untuk menjadi ejen perubahan sebagai seorang ahli parlimen (AP) dalam dewan parlimen yang dikuasai tentera Myanmar yang pernah menghumban beliau ke dalam penjara.
Berusia 31 tahun, beliau merupakan bintang parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, kembali ke arena politik negara itu selepas pilihan raya kecil pada April lalu, setelah berada dalam tahanan di rumah pada sebahagian besar daripada tempoh dua dekad lalu, yang kini menjadi kuasa pembangkang utama dalam parlimen Myanmar.

Pilihan raya itu diadakan di tengah-tengah perubahan meluas yang dilakukan di Myanmar selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan tentera yang berakhir tahun lalu.
Pemerintah separa awam Myanmar memeranjatkan para pengkritiknya dengan beberapa langkah pembaharuan seperti pembebasan ratusan tahanan politik negara itu dan mengalu-alukan penyertaan pembangkang dalam arus utama arena politik.
Encik Thaw, seorang bekas tahanan politik dan AP Myanmar yang sungguh tidak dijangkakan, adalah antara empat calon NLD yang dipilih di ibu kota negara itu di Naypyidaw - satu kemenangan yang dilihat sebagai memalukan rejim yang disokong tentera itu.
"Anda orang muda, anda seorang artis hip-hop dan anda bekas tahanan. Bagaimana anda boleh jadi seorang AP?" kata beliau kepada agensi berita AFP, dalam satu wawancara di apartmennya di Yangon.
"Itu sesuatu yang agak sering saya dengar," ujarnya.
Namun, pengalamannya itulah yang mendorong rapper pemberontak itu menceburi politik negaranya. - AFP.

Popular Posts

No comments:

Posting Terkini