Pages

Thursday, May 3, 2012

Suu Kyi rasmi ahli parlimen Myanmar



MENGANGKAT SUMPAH: Pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi bersama ahli parlimen lain dari NLD mengangkat sumpah di dewan rendah parlimen negara itu, di Naypyidaw, semalam. - Foto AFP

NAYPYIDAW: Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, mengangkat sumpah sebagai seorang ahli parlimen (AP), semalam, yang mencipta babak baru dalam perjuangan pemenang Hadiah Nobel bagi Keamanan itu menentang pemerintahan tegar di negara tersebut.

Ikon demokrasi berusia 66 tahun itu berdiri membaca sumpah ringkasnya bersama-sama 33 lagi AP lain dari parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), yang dilantik ke dewan rendah, dalam satu majlis di Naypyidaw, kata seorang pemberita agensi berita AFP.



Upacara mengangkat sumpah itu membolehkan Cik Suu Kyi memegang jawatan awamnya itu secara rasmi buat kali pertamanya dan menandakan perubahan nasib beliau, yang pernah dikenakan tahanan dalam rumah di sebahagian besar daripada tempoh 20 tahun lalu, tetapi kini menjadi tumpuan utama dalam peralihan negara tersebut ke arah demokrasi.

Cik Suu Kyi pada mulanya enggan mengangkat sumpah itu, khususnya kerana satu kenyataan ikrar berhubung 'melindungi' perlembagaan yang dihasilkan oleh pihak tentera.

Bagaimanapun, beliau menarik balik tindakannya itu pada Isnin lalu selepas ketua negara pemerintah awam Myanmar, Encik Thein Sein, berkeras terhadap ikrar itu, sambil menjelaskan bahawa adalah menjadi 'hasrat orang ramai' melihat parti Cik Suu Kyi dalam parlimen selepas pilihan raya kecil bersejarah di negara itu pada 1 April lalu.

Semasa beliau meninggalkan parlimen Cik Suu Kyi ditanya oleh AFP sama ada upacara itu adalah satu detik emosional bagi dirinya, Cik Suu Kyi menjawab: 'Tidak, ia hanya sesuatu yang menarik.'

Beliau kemudian diiring ke keretanya menuju ke lapangan terbang Naypyidaw pulang ke Yangon.

Masyarakat antarabangsa mengalu-alukan pemilihannya sebagai satu langkah ke arah demokrasi dan menggesa Cik Suu Kyi, yang biasanya menarik ramai penyokongnya semasa berkempen, mengisi kerusi parlimen itu kerana bimbang keengganan beliau itu boleh membantutkan peralihan pemerintahan tentera di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, kelmarin mengalu-alukan langkah Cik Suu Kyi mengangkat sumpah.

Beliau melahirkan harapan agar terdapat lebih banyak kerjasama antara NLD dengan pemerintahan Encik Thein Sein.

Dalam ulasan yang kemudian diulangi oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Ban berkata mesyuaratnya dengan Encik Thein Sein dan NLD di Myanmar, minggu ini, telah meyakinkan beliau bahawa kededua pihak boleh terus menghasilkan kemajuan. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini