Pages

Wednesday, March 7, 2012

Rayuan penduduk Bukit Gasing ditolak


Seratus lapan penduduk Bukit Gasing gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar perintah pembangunan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit di kawasan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ramly Ali, membuat keputusan itu dengan majoriti 2-1, yang menyaksikan Hakim Ramly dan Datuk Zaharah Ibrahim menolak rayuan penduduk manakala Datuk Jeffrey Tan Kok Wha menentang.

Dalam penghakimannya, Hakim Zaharah tidak bersetuju dengan hujah peguam R Sivarasa bahawa pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang memperuntukkan hak pendengaran awam bantahan oleh penduduk, diperluas ke Wilayah Persekutuan.
Sebaliknya, beliau berkata undang-undang yang terpakai di Wilayah Persekutuan ialah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan ia hanya memberi hak pendengaran awam apabila terdapat perubahan pada penggunaan tanah atau peningkatan kepadatan penduduk kawasan tersebut.

Dalam penghakiman bertentangan, Hakim Tan berkata terdapat kegagalan prosedur di pihak DBKL kerana tidak menjalankan pendengaran awam bagi penduduk sebelum mengeluarkan perintah pembangunan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Penduduk memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 2008 bagi mengetepikan perintah pembangunan berhubung projek Sanctuary Ridge Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina 70 banglo di kawasan seluas 15.52 hektar di Bukit Gasing.

Dalam permohonan untuk semakan kehakiman, penduduk mendakwa Datuk Bandar gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang lazim untuk diberikan notis terlebih dahulu, dan diberi peluang menyuarakan pendapat dalam proses membuat keputusan perancangan itu.

Penduduk terbabit mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk semakan kehakiman pada 6 Sept 2010.

Sementara itu, seorang anggota jawatankuasa tindakan bersama Bukit Gasing, Mohamed Kamar Mohamed, berkata mereka kecewa dengan keputusan tersebut.

Katanya, penduduk akan bermesyuarat bagi memutuskan sama ada membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

- Bernama

No comments:

Posting Terkini