Pages

Thursday, November 10, 2011

Pesakit TB di Singapura meningkat


JUMLAH pesakit batuk kering atau tuberculosis (TB) di Singapura didapati meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Perangkaan yang didedahkan Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan sebanyak 1,581 kes direkodkan pada 2006 sebelum meningkat kepada 1,608 kes pada 2007, 1,951 pada 2008, 1,966 pada 2009 dan 2,028 pada tahun lalu.

Menurut MOH, kira-kira tiga suku atau 1,478 kes TB tahun lalu melibatkan penduduk tetap (PR) dan warga Singapura sementara bakinya melibatkan warga asing tetapi tidak termasuk pengunjung jangka pendek.

Daripada jumlah yang dicatatkan tahun lalu, 296 kes melibatkan kaum Melayu.

Kes melibatkan kaum Melayu turut mencatat peningkatan sejak 2006 kecuali 2009.

Sebanyak 247 kes direkodkan pada 2006, 229 kes pada 2007, 283 kes pada 2008 dan 297 kes bagi 2009.

Sedang perangkaan menunjukkan peningkatan, Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit MOH, Dr Jeffery Cutter, bagaimanapun berkata, Singapura mencatatkan kadar TB kedua terendah di Asia tahun lalu, iaitu sebanyak 39 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Jepun mencatatkan kadar TB terendah di Asia, dengan sekitar 21 kes bagi setiap 100,000 penduduk.


Menyentuh tentang kes-kes TB yang melibatkan tiga pelajar Sekolah Menengah Bedok Town antara April dengan Oktober lalu, Dr Cutter menyifatkannya sebagai kes terasing dan tiada kaitan antara satu dengan lain.

Lebih 100 pelajar dan guru yang terlibat dalam dua kes pertama pada April dan Julai lalu telah dikenal pasti bagi mengambil ujian kulit yang merupakan ujian diagnostik bagi penyakit TB.

Seramai 40 pelajar dan guru yang rapat dengan pelajar yang terlibat dalam kes bulan lalu pula telah dikenal pasti bagi menjalani ujian tersebut selepas peperiksaan GCE Peringkat 'O' nanti.

TB berpunca daripada bakteria Mycobacterium Tuberculosis, yang boleh merebak melalui udara apabila seseorang pesakit batuk atau bersin.

Di peringkat awal, seseorang akan kena Jangkitan TB Terpendam (LTBI) sebelum menghidapi TB aktif.

Mereka yang kena jangkitan LTBI tidak menunjukkan sebarang tanda, tidak rasa sakit dan tidak boleh menjangkiti orang lain meskipun ujian kulit ke atas mereka didapati positif.

Hanya sekitar 10 peratus daripada mereka yang mempunyai LTBI akan menghidapi penyakit TB aktif dari jangka masa beberapa minggu sehingga beberapa tahun.

Penyakit TB boleh diubati menerusi rawatan yang memakan masa sekurang-kurangnya selama enam bulan.Ketua Unit Kawalan Batuk Kering (TBCU) di Hospital Tan Tock Seng, Profesor Sonny Wang, berkata:

'Kami menggalak rawatan pencegahan bagi mereka yang dipercayai baru dijangkiti LTBI kerana ini boleh mengurangkan risiko menghidapi penyakit TB aktif pula.

'Tetapi, jika rawatan ini menyebabkan kesan sampingan kepada hati mereka, kami tidak menggalak rawatan ini dan mereka boleh berhenti menerima rawatan selepas berbincang dengan doktor.'

Dr Cutter turut menasihatkan pesakit TB supaya menjalani rawatan sehingga tamat dengan menggunakan program (DOT, Directly Observed Treatment) supaya tidak lali dengan ubat pada masa depan.

Sepanjang tempoh rawatan, pesakit TB perlu ke poliklinik atau TBCU setiap hari bagi mengambil ubat dengan kehadiran jururawat.

No comments:

Posting Terkini