Pages

Monday, November 21, 2011

Pakatan berjiwa rakyat, BN berjiwa kroni

Urus tadbir kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lebih berjiwa rakyat berbanding Barisan Nasional yang berjiwa kroni adalah satu daripada empat faktor utama sokongan terhadap Pakatan semakin meningkat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan berjiwa rakyat ialah yang menerapkan lima prinsip utama, iaitu keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan untuk rakyat, dan demokrasi dalam pendtabirannya.

Katanya faktor kedua ialah kesungguhan Pakatan menolak rasuah, iaitu bukan sahaja berkata-kata tetapi benar-benar melaksanakan dan menguatkuasakannya.

“Setelah hampir empat tahun kita perintah, kita telah buktikan kepada rakyat bahawa sebuah kerajaan yang bersih boleh buat lebih baik dari kerajaan yang kotor dan rasuah,” katanya merasmikan Konvensyen DAP Selangor ke-16 di sini semalam.


Menurutnya, faktor ketiga pula ialah keiklhasan Pakatan memperjuangkan masa hadapan generasi akan datang.

“Lebih 50 tahun masa depan kita telah dirompak oleh BN. Kita jangan biarkan lagi BN rompak masa depan anak cucu kita pula.

“Sekali (dirompak) sudah cukup, jangan berkali-kali… Itu sebab BN mesti tumbang sama sekali,” katanya.

Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, masa hadapan anak cucu rakyat Malaysia ialah pada dua perkara utama, iaitu bakat-bakat tidak akan dipersiakan di bawah Pakatan, dan generasi akan datang akan menikmati alam sekitar yang lebih sihat.
Faktor keempat, katanya, adalah iltizam Pakatan untuk menghapuskan politik perkauman apabila diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, dan dengan itu, rakyat akan bersatu tanpa mengira kaum dan agama.

“Hanya Pakatan mampu menyatupadukan semua rakyat tidak kira kaum, tidak kira agama, kerana kita semua anak Malaysia. Ini kita telah buat di semua negeri Pakatan,” katanya.

Bagaimana pun, jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, kesemua faktor itu akan terlaksana dengan lebih baik lagi apabila semua ahli dan pemimpin DAP bekerja dengan lebih lebih kuat lagi.

“UMNO, MCA, MIC akan mainkan isu perkauman, menuduh kita anti Melayu atau anti Cina.

“Kita mesti menjelaskan kepada rakyat bahawa DAP bukan anti-Melayu, anti-Cina. Kita anti rasuah!” katanya.
Justeru, menurutnya, pemimpin dan ahli DAP tidak perlu bercakap panjang berjela-jela, sebaliknya memberikan sebab yang lebih kukuh dan logik kepada rakyat dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Katanya, kesungguhan mereka akan dapat mengekalkan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan di samping menambah bilangan kerusi Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. – Roketkini

No comments:

Posting Terkini